Thursday, November 12, 2009

Pengantar Tafsir Tematik (Siri 1)

Pendahuluan

Ilmu tafsir sudah wujud sejak zaman awal Islam ketika al-Quran/wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Tipologi atau pembahagian tafsir berkembang dengan pesat dari masa ke semasa sesuai dengan tuntutan dan konteks. Dasar tipologi terhadap tafsir pun berbeza-beza. Di antara pembahagian tafsir secara umum dan sudah dikenali sejak masa Nabi Muhammad SAW adalah tafsir bi al-atsar -banyak yang menyebut tafsir bi al-ma’thur atau tafsir riwayah-. Pembahagian ini disebut sebagai corak tafsir. Corak tafsir lain yang berkembang adalah tafsir bi al-ra’y.

Tafsir bi al-ma’thur adalah tafsir yang menggunakan nas dalam menafsirkan, baik al-Quran dengan al-Quran mahu pun al-Quran dengan sunnah. Dengan kata mudah, tafsir bi al-ma’tsur adalah tafsir antara nas (inter-text). Sementara tafsir bi al-ra’y atau dikenali juga dengan tafsir dirayah; tafsir yang lebih menumpukan pada ijtihad yang sahih.

Namun ada juga tafsir isyari dan tafsir janggal (gharaib al-tafsir). Tafsir isyari adalah penafsiran al-Quran yang berlainan dengan zahir ayat karena ada petunjuk yang tersirat hanya diketahui oleh sebahagian ulama atau orang-orang tertentu. Tafsir janggal adalah tafsir yang tidak sejalan dengan tafsir pada umumnya. Kedua tafsir ini tidak diterima oleh umum ulama, hanya orang-orang tertentu yang menerimanya.

Dari tafsir bi al-ma’thur dan bi al-ra’y telah muncul method atau corak penafsiran baru yang menjadi pilihan para mufassir atau ulama yang ingin menafsirkan al-Quran mutakhir kini iaitu tafsir tematik (juga disebut tafsir maudhu'i). Penulisan ”Pengantar Tafsir Tematik” inilah yang dimaksudkan dalam perbahasan dan akan menjadi fokus utama perbincangan ini.


Pembahagian Tafsir:

Sebelum diperkatakan tentang tafsir tematik, elok rasanya kita mengenal terlebih dahulu pembahagian-pembahagian tafsir dari sudut gaya penulisannya kerana terdapat bentuk-bentuk penulisan yang berbeza dalam penulisan tafsir. Setiap bentuk penulisan ini bertujuan merealisasikan maksud-maksud yang dikehendaki oleh penafsir.

Tafsir melalui bentuk penulisannya dibahagikan kepada empat bahagian:

1. Tafsir analisa; iaitu penafsir menelusuri setiap ayat dengan menganalisis secara luas dan mendalam; dengan membentangkan pelbagai tajuk, perbahasan dan permasalahan; baik yang berkaitan akidah, nahu, balaghah, qiraat, hukum-hakam dan sebagainya. Perbahasan di dalam tafsir bentuk ini berbeza antara satu kitab dengan kitab yang lain berdasarkan panjang dan pendek; ada di antaranya berkadar sederhana; ada di antaranya yang sangat panjang.

Tafsir berbentuk ini yang mendominasi di dalam kitab-kitab tafsir. Di antara contohnya: Kitab “al-Bahru al-Muhit” oleh Abu Abdullah Muhammad Bin Yusoff Bin Hayyan al-Andalusi (terkenal dengan Abu Hayyan), “Ma’alim at-Tartiel” oleh Abu Muhammad al-Hussayn al-Bughawi, al-Muharar al-Wajiez fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz” oleh Ibnu ‘Atiyyah al-Andalusi, “At-Tafsir al-Kabir” oleh Abu Abdullah Muhammad Bin Umar Fakhruddin ar-Razi, “Fath al-Qadir” oleh al-Imam Muhammad Bin Ismail as-Syaukani dan “Ruuh al-Ma’ani” oleh Shihabuddin Mahmud al-Alusi.

2. Tafsir Global; iaitu penafsir menerangkan maksud ayat secara global/umum tanpa memperluas atau memperdalam huraiannya; tanpa membentangkan perbahasan yang detail dalam aspek akidah atau bahasa atau fekah. Di antara contoh tafsir bentuk ini: “Taysir al-Kariem ar-Rahmaan fi Tafsir Kalam al-Mannan” oleh Syeikh Abd. Rahman as-Sa’di, “Tafsir al-Manar” oleh Muhammad Rasyid Redha dan “Aysir at-Tafaasir”oleh Abu Bakar al-Jazaairi.

3. Tafsir al-Muqaran; iaitu penafsir melakukan komperatif (perbandingan) di antara sekumpulan ahli tafsir yang berbeza pada manhaj mereka; dengan cara menghimpun penafsiran mereka pada sejumlah ayat atau surah yang pendek untuk mengetahui manhaj setiap dari mereka dan cara-cara mereka menyusun tema; dengan membandingkan manhaj antara setiap mereka; dengan menerangkan bentuk-bentuk perbezaan yang terdapat di antara mereka. Penulis tafsir yang berbentuk ini menjelaskan pendapat-pendapat ahli tafsir dan bentuk-bentuk persamaan dan perbezaan antara mereka; menjelaskan kepada kita pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan mereka sejauh mana berkait antara satu sama lain atau berbeza.

Selaras dengan tiga pembahagian di atas, kita sebenarnya sukar untuk menyusun kitab-kitab tafsir yang merangkumi semua tiga bentuk penafsiran yang telah disebutkan. Di antara sebabnya adalah: tiada perbezaan yang jelas di antara manhaj-manhajnya. Terkadang sebuah kitab itu berada di antara tafsir analisa dan global/umum, atau seorang penulis terkadang menghimpun antara cara menganalisis dan membanding, maka susunan kitabnya adalah berbentuk analisa atau perbandingan. Contohnya tafsir Ibnu Kathir -semoga Allah merahmatinya- mungkin boleh dikira sebagai tafsir berbentuk analisa atau tafsir global/umum, dan misalnya kitab at-Thobari -semoga Allah merahmatinya- “Jami’al-Bayan” mungkin boleh dikirakan sebagai tafsir komperatif atau tafsir analisa.
4. Tafsir tematik; merupakan topik perbahasan kita dan insyaAllah akan dilanjutkan perbincangannya selepas ini. (bersambung...)
#Nota: Perbincangan tentang "Pengantar Tafsir Tematik" ini adalah berdasarkan nota kuliah penulis yang pernah penulis pelajari ketika belajar di Universiti Sana'a, Yaman sewaktu berada di tahun 2 bagi subjek Tafsir Maudhu'ie (tematik) yang di ajar oleh Dr. Soleh Sawwab, Ketua Jabatan Pengajian Islam, Kuliah Adab (Fakulti Kesusasteraan) Universiti Sana'a. InsyaAllah! perbincangan ini akan diadakan secara bersiri.

1 comment: