Tuesday, November 10, 2009

Terlebih Lajak Dari Laju

Pelbagai isu sedang menimpa PAS kini. Bagi saya, ia merupakan sesuatu yang lumrah dan merupakan proses biasa menuju kematangan berpolitik dan berjemaah. Terserah kepada pucuk pimpinan dan ahli bagi menanggapi dan menangani isu tersebut. Isu yang dipandang negatif sebenarnya boleh ‘turning over’ menjadi positif kalau kena caranya. Semakin banyak ujian menimpa, semakin matang dan mantap PAS kalau diuruskan dengan benar dan tepat. Permata yang telah menjalani proses uji-bakar dengan lama pasti bermutu dan berharga tinggi.

Saya tertarik dengan isu terkini iaitu isu bai’ah PAS. Bai'ah merupakan perjanjian untuk memberi ketaatan dan bersama dalam perjuangan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan diri dan urusannya kepada ketua, pemimpin atau perjuangannya. Ianya merupakan perbuatan sunnah Nabi SAW. Nabi SAW dan para sahabatnya pernah berbai’ah antaranya dalam Bai’ah al-Aqabah pertama dan kedua, bai’ah dalam perang Badar, Bai’ah ar-Ridwan di bawah pokok dan lain-lain bai’ah.

Bai’ah tidak salah. Bai’ah bertujuan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ubadah bin Shamit meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW mengambil sumpah setia kami pada malam pertama di ‘Aqabah, bahawasanya kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan apa pun juga, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan berdusta, melindungi apa saja yang ada di depan atau di belakang kami dan tidak membantah perintah baginda dalam hal kebajikan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bai’ah juga perjanjian dan taat setia untuk bersama-sama dalam perjuangan, tidak lari dan meninggalkan amanah perjuangan. Sahabat-sahabat pernah berbai’ah untuk bersama Rasulullah SAW dalam perang Badar: Sa’ad bin Muaz berkata: “Demi Allah, kamu seolah-olah hendakkan kami wahai Utusan Allah.” Nabi SAW menjawab: “Benar.” Berkata Sa’ad: “Seseungguhnya kami telah beriman dan membenarkan kamu, kami telah menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar belaka, dan kami menyatakan janji dan taat setia kami kepadamu, maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki, kami akan bersamamu, dan demi Yang Mengutuskan kamu (Allah) dengan kebenaran, jika engkau membentangkan kepada kami lautan ini dan engkau menyeberanginya nescaya kami juga akan mengharunginya bersama kamu.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah).

Kembali persoalan di atas. Apa salahnya dengan bai’ah PAS? Menjadi isu bila di’katakan’ arahan pimpinan atasan PAS supaya pemimpim-pemimpin, bakal-bakal calon PAS dalam pilihanraya supaya berbai’ah dengan parti atas kesetiaan mereka dengan mentalak isteri dengan 3 talak jika memungkiri bai’ah. Ramailah ilmuwan Islam –ilmuwan semulajadi dan ilmuwan jadisendiri- melatah menolak bai’ah sebegini. Ungkapan mereka seperti ”membawa mudarat” ”melampau” ”bertuhankan politik” ”tidak bertamadun” ”menjatuhkan imej Islam” dikutip oleh media (jika benar kenyataan mereka seperti yang disiarkan media).

Saya sendiri secara peribadi tidak bersetuju (jika benar ini adalah bai’ah yang diarahkan oleh PAS pusat atau mana-mana pimpinan tertinggi PAS). Jika benar perkara tersebut berlaku, PAS dan pimpinannya perlu jujur dan kembali mengintrospeksi diri dan parti. Bai’ah dengan ’mempajakgadaikan’ isteri bukan perkara yang pernah ditunjuki Nabi, tidak ada dalam warta syariat Allah bahkan tidak molek atas ukuran adat dan budaya. Politik dan berpolitik tetap ada had dan batasannya dalam keluasan rahmat dan syariat Islam.

Namun, ini bukanlah isu yang ingin saya ketengahkan di sini. Hari ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah membuat penafian bahawa pernah wujud arahan dari PAS pusat terhadap bai’ah talak 3 isteri selepas di arahkan oleh Presiden parti. Penafian ini dibuat setelah beberapa ketika bai’ah PAS ’dibelasah’ oleh segelintir tokoh ilmuan yang ada sindrom ’melatah’ apabila dicuit (cuit sebelah shj).

Memang sudah menjadi trend, bila ada isu yang boleh ’dikenakan’ ke atas PAS, tanpa usul periksa dan tanpa diselidiki sudah keluar komen-komen negatif dan buruk terhadap PAS. Ringan dan lancar sahaja mulut SS Tan Sri Harussani, Prof. Datuk Mahmood Zuhdi, Datuk Noh Gadut, YB Sen. Datuk Mashitah dan lain-lain. Tanpa berkias dan berlapik.

Islam mengajar kita menyelidiki sebarang berita yang dibawa terutama dari media yang merupakan ”kalam khabari” bererti membawa berita benar dan palsu. Pentingnya menyelidiki berita ini telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:

يأيها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنباء فتبينوا…

"Wahai mereka yang beriman! Jika kamu didatangi si fasiq dengan sesuatu berita, maka hendaklah kamu periksa (asas, latarbelakang atau kebenarannya)".

Sebaiknya para ilmuan tadi belajar daripada Abu Bakar as-Siddiq RA, yang berlapik dalam memberi ulasan. Pasca peristiwa al-Israk wal Mi’raj Nabi SAW seperti yang diceritakan oleh Ibn Hisyam dalm Sirahnya. Abu Jahal dan barisan sekutunya mempunyai modal untuk mempermain-main dan memperolok-olok Nabi SAW dari peristiwa israk Nabi –yang tidak logik dan mustahil pada akal pada waktu itu-, lalu bertanya kepada Abu Bakar RA tentang pendiriannya:
...فقالوا : هذا صاحبك يقول كذا وكذا ، فقال : أوقد قال ذلك ؟ قالوا : نعم ، فقال : إن كان قال ذلك فقد صدق
“…teman kamu (Muhammad) menceritakan sekian perkara (peristiwa israk yang tidak masuk akal oleh orang musyrikin Mekah), lalu bertanya Abu Bakar: adakah itu yang disebut oleh Muhammad? Mereka berkata: Ya! Kata Abu Bakar: jika demikianlah yang dikatakan oleh Muhammad, maka memang benarlah apa yang dikatakan olehnya...”.

Lihat bagaimana method menjawab –juga mengulas- yang boleh dipelajari dari Abu Bakar RA. Bagi Abu Bakar RA, cerita israk hanya berlaku semalaman memang sukar untuk diterima akal yang sihat lagi waras –pada zaman tersebut- lalu meminta kepastian memang Nabi SAW sendiri yang menceritakan atau ianya merupakan kelentongan Abu Jahal semata-mata. Abu Bakar RA percaya dengan sepenuh jiwa jika ianya memang keluar dari mulut Nabi SAW kerana segala peristiwa yang mustahil pada akal tidak mustahil berlaku pada Nabi SAW lantaran mukjizat yang dipunyai baginda. Abu Bakar RA berlapik dalam menjawab pertanyaan tersebut.

Sebaiknya para ilmuan di atas –dan lain-lain- tidak membuat komen atau ulasan sebelah pihak tanpa mengetahui kebenarannya. Sekurang-kurangnya berlapiklah dengan: ”Jika benar apa yang dikatakan oleh......, maka saya berpendapat.....”. Ini juga manhaj ulama hadith seperti Ibn Khuzaymah, al-Bayhaqi, Ibn Abi Syaybah, Ibn Abdil Bar, as-Suyuti yang berlapik dengan perkataan ”إن صح/ إن صح الخبر “ apabila mereka ragu-ragu tentang status sebuah hadith atau status sebuah hadith masih diperdebatkan kesahihannya.

Berhati-hatilah membuat komen atau ulasan. Jangan terlebih lajak dari laju!

1 comment:

  1. Semakin bagus artikel abang.. satu ulasan isu yg sepatutnya diketengahkan untuk perhatian semua. :)

    ReplyDelete