Monday, January 25, 2010

Kalimah Allah: Khutbah Qaradhawi di Qatar.


KUALA LUMPUR, 26 Jan: Seperti PAS dan Pakatan Rakyat, Sheikh al-Islam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi Jumaat lepas turut mempersoal inisiatif sesetengah pihak di Malaysia yang dilihat berusaha menghalang masyarakat bukan Islam dari menggunakan kalimah Allah.
“Surah terakhir dalam Al-Quran (yang bermaksud), “Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan untuk sekalian manusia.”


“(Mengapa) bukan (disebut lafaz) Allah bagi masyarakat Muslim atau masyarakat Arab atau; yang Maha Menguasai bagi masyarakat Arab, Tuhan bagi orang Arab (lalu ditanya) ‘mengapa orang Malaysia kebelakangan ini begitu tidak selesa?” dipetik dari laman rasmi al-Qaradhawi, http://qaradawi.net./


Berkhutbah Jumaat di Masjid Umar al-Khattab, Doha, beliau berkata, masyarakat Islam dan bukan Islam seharusnya saling menghormati tabiat kepelbagaian beragama dalam masyarakat.
"Perbezaan kepercayaan antara penganut satu-satu agama tidak seharusnya memisahkan (antara) masyarakat bukan Islam dan kami (umat Islam) di dunia ini, tetapi yang memisahkan (antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam adalah) Allah (pada) hari kiamat,” jelasnya lagi.


Beliau yang juga Pengerusi Ikatan Cendekiawan Fiqh Islam Sedunia (Majmak Fiqh al-Islami al-‘Alami) turut mengutuk beberapa siri pengeboman rumah ibadat bagi penganut agama Kristian di Malaysia sebelum ini.
"Serangan-serangan yang terjadi pada gereja-gereja di Malaysia tidak tepat,” tegasnya.


Dalam perkembangan berkaitan, PAS serta Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa tidak ada halangan untuk masyarakat bukan Islam untuk menggunakan nama Allah.


Pun begitu, penggunaan kalimah Allah atas tujuan mengelirukan umat Islam atau menghina kesucian mana-mana agama sama sekali tidak dibenarkan.


Manakala, kerajaan serta lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam pula sebelum ini dilaporkan membantah masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah.


Menurut mereka yang terbabit, walaupun penganut agama Islam dan Kristian di negara-negara Arab telah lama menggunakan kalimah Allah, namun alasan tersebut tidak sesuai dalam konteks Malaysia.


Friday, January 8, 2010

Membakar Gereja Bukan Dari Islam

Beberapa buah gereja di Lembah Kelang dibakar. Adakah ianya merupakan re-aksi kepada isu penggunaan nama “Allah” yang hangat kini sebagai tanda protes? Atau ada tangan-tangan ghaib yang merencanakan sedemikian demi survival dan keuntungan politik jangka pendek? Apa pun saya tidak ingin menyorot persoalan tersebut. Saya hanya ingin menjelaskan salah satu dasar Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW iaitu: Islam adalah Agama rahmat untuk seluruh alam.
Allah SWT menjelaskan kerahmatan Islam di dalam surah al-Anbiya’: 107:

"Tidaklah Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan
menjadi rahmat kepada seluruh alam."

Memusnah atau merosakkan tempat ibadah apa jua agama dan kepercayaan adalah dilarang oleh Islam hatta ketika peperangan berlangsung sekalipun. Nama Islam sendiri merujuk kepada kesejateraan atau keselamatan. Islam berlepas diri dari tindakan yang seperti ini. Hatta dalam peperangan sekali pun, al-Quran menyatakan bahawa tujuan peperangan yang berlaku dalam ajaran Islam ialah untuk membela keadilan untuk seluruh makhluk, yang antara kebaikannya menyelamatkan tempat-tempat ibadah manusia. Allah menjelaskan dalam al-Quran:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَہُم بِبَعۡضٍ۬ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٲمِعُ وَبِيَعٌ۬ وَصَلَوَٲتٌ۬ وَمَسَـٰجِدُ يُذۡڪَرُ فِيہَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ ڪَثِيرً۬“
"…dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya…”.


Namun begitu, barang diingat kejadian membakar gereja di Lembah Kelang tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan Islam. Kemungkinan-kemungkinan lain patut juga dipertimbangkan. Sama ada ianya perlakuan orang Islam ekstrem yang memberi reaksi demi mempertahankan maruah Agamanya –menurut kefahamannya yang tersasar-, atau tindakan jahat pihak yang ingin mendapatkan keuntungan politik, ataupun tindakan yang disengajakan oleh pihak gereja sebagai cetusan provokasi. Perkara pokok di sini, Islam tidak mengajar umatnya membakar gereja.

Nama Allah - Respon Ringkas Dalam Kuliah

Assalamualaikum wbrth!

Agak lama tangan ini tidak mengetik punat keyboard. Sesi persekolahan 2010 telah melewati minggu pertama. Kesibukan di sekolah belum lagi berkurangan; dalam nota banyak lagi kerja yang perlu dibereskan. Untuk menulis “ruang & peluang perlu dimanafaatkan”.
Banyak isu yang ingin saya turut serta sebenarnya. Isu nama Allah antaranya. Mungkin saya agak lambat berpartisipasi mengulas tentang isu ini. Namun, dalam kuliah saya di Surau Kampung Sungai Emas selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan Tabloid Herald Catholic Weekly, saya ada memberi respons. Sebilangan hadirin ada yang terkejut. Dalam menghuraikan persoalan tersebut, saya menggunakan pendekatan deduktif (dari umum ke khusus) yang menyangkuti beberapa isu sebelum saya membuat kesimpulan:

1. “Allah milik siapa?”.
Allah adalah “milik” semua. Allah adalah Tuhan, Pemilik, Empunya, Penguasa, Tuan kepada Mohamad Hilmi, Najib Razak, Hadi Awang, Nik Aziz, Ong Tee Keat, Chua Soi Lek, Koh Su Kon, Sammy Vellu, Murpy Pakiam dan lain-lain. Allah bukan ekslusif milik Mohamad Hilmi sahaja. Ketika semua manusia berada di alam roh, mereka telah membuat pengakuan bahawa Allah itu Tuhan mereka:

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (al-A’raf: 172).

Bahkan Allah adalah Tuhan kepada seluruh alam, sama ada manusia, haiwan, tumbuhan, batuan, lautan, angin dan segala sesuatu yang ada di alam maya pada ini dan di mana-mana sahaja. Sehari semalam umat Islam –semestinya- mengesahkan perkara ini:

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
“Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam”.

Jadi, Allah adalah inklusif milik bersama.


2. Nama “Allah” milik siapa?
Isu kedua lebih khusus, berkaitan “nama”. Nama “Allah” berdasarkan nas dan hujjah adalah inklusif milik bersama, terutama bagi Agama Samawi (termasuk Yahudi & Kristian). Dalam hadith muttafaq ‘alaiyh:


“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.


Dalam surah al-Hajj ayat 40, Allah menjelaskan bahawa tempat-tempat peribadatan Agama Samawi menggunakan nama “Allah” dalam ritual mereka:


وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَہُم بِبَعۡضٍ۬ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٲمِعُ وَبِيَعٌ۬ وَصَلَوَٲتٌ۬ وَمَسَـٰجِدُ يُذۡڪَرُ فِيہَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ ڪَثِيرً۬
“…dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya…”.


Khusus bagi orang Kristian, mereka tersesat kerana mempercayai dan mengamalkan konsep trinity (3 dalam 1). Allah menyebut di dalam surah al-Maidah ayat 73:


لَّقَدۡ ڪَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ ثَالِثُ ثَلَـٰثَةٍ۬‌ۘ وَمَا مِنۡ إِلَـٰهٍ إِلَّآ إِلَـٰهٌ۬ وَٲحِدٌ۬‌ۚ وَإِن لَّمۡ يَنتَهُواْ عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”


Dalam ayat tersebut, kesilapan Kristian ialah konsep trinity, bukan penggunaan nama “Allah”. Allah memperbetulkan tanggapan tersebut –bagi umat Islam- kita wajib meng-Esa-kan Allah seperti yang dinyatakan dalam surah al-Ikhlas.
# Isu 1 & 2 bersangkutan dengan Tauhid Rububiyah semata, bukan Tauhid Uluhiyyah dan Asma’ wa as-Sifat Allah yang Maha Mulia.



3. Penggunaan nama “Allah” dalam konteks Malaysia.
Malaysia adalah Negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu-Islam manakala perlembagaan Negara menjelaskan agama rasmi Malaysia ialah agama Islam. Ini realiti yang perlu dipegang. Isu yang berbangkit pula merupakan isu yang sangat sensitive terutama bagi umat Islam-Melayu. Penggunaan nama “Allah” secara salah dan tidak tepat –menurut pandangan Islam- pasti akan ditentang habis-habisan oleh umat Islam. Seolah-olah pihak yang membangkitkan isu ini (Herald) sengaja menyucuk hati-jantung umat Islam. Maka secara waki’i-nya (realitinya) penggunaan nama “Allah” yang diterjemah dari perkataan god adalah tidak wajar dan patut ditolak.