Thursday, December 17, 2009
Sosialisasi Kanak-Kanak
***************************************
Manakala George Herbert Mead seorang sosiolog pendidikan pula membahagikan proses sosialisasi seorang insan itu kepada 4 tahap, iaitu:
- Tahap persiapan (Preparatory Stage);
- Tahap meniru (Play Stage);
- Tahap siap bertindak (Game Stage);
- Tahap penerimaan norma kolektif (Generalized Stage/Generalized other).
Bagi kanak-kanak, 2 tahap pertama merupakan tahap yang sangat penting dan bakal mempengaruhi 2 tahap seterusnya. 2 tahap pertama inilah yang perlu diberikan perhatian serius oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Proses peniruan akan berlangsung dengan hebatnya dalam 2 tahap ini.
1. Tahap Persiapan (Preparatory Stage)Monday, December 14, 2009
Coretan Sebelum Mata Terpejam
*************************************
Sekarang pukul 12.46 pagi. Mata belum kantuk, perut masih kekenyangan; baru lepas makan megi mee kari berapi. Sempat melawak dengan bini tadi supaya sediakan fire extinguisher dan jauhkan tisu yang kebetulan ada atas meja. Sekarang kenyang. Tadi dalam bilik, saja test manglish aku kat bini ”Honey! I’m a little hungry”. Kalut je dia nak serve kat aku; ajak aku ke dapur. Dia suggest aku makan roti gardenier cicah kari ayam tengah hari tadi, dia nak panaskan. Mulanya aku setuju, tapi bila nampak je bungkusan megi mee kari berapi dalam almari dapur, aku minta dia buatkan megi je. Senang dan cepat. Sedang dia dok masak megi, aku balun je semangkuk salad + mayonis, lebihan petang tadi.
Tadi petang, bini, anak dan mak mertua aku pergi shopping. Aku duduk kat rumah je. Malas nak shopping (paling malas nak jaga anak kalau ikut depa shopping). Bila pak mertua aku balik kerja, dia ajak aku keluar makan di luar (Bandaraya Kuala Terengganu). Sampai di sebuah gerai, pak mertua aku telefon bini, anak dan cucunya supaya joint us makan petang (merangkap makan malam) di situ. Pak mertua belanja makan ayam goreng, salad, potato wedges, roti bun dan lain-lain ala omputih. Aku bukannya biasa sangat makan benda-benda macam tu. Biasa la orang kampung, ’perut nasik’, kejap perut, senang lena.
Tapi bila baru lepas makan mana boleh tidur. Aku tak biasa tidur sejurus lepas makan. Otakku terpaksa bergerak juga mencari idea apa yang boleh aku lakukan sekarang. Terbit juga cadangan menyambung pembacaan buku ”Pengantar Sains Politik” susunan Syed Ahmad Hussein yang baru aku mula baca pagi tadi, tapi bukunya di luar bilik. Aku malas nak membuka lampu mencari buku tersebut, takut menganggu pak mertuaku yang sekian lama menjadikan ruang tamu tempat beradunya.
Di sebelah, atas katil, bini aku sedang menekuni laptop kecilnya. Lubna anak kecilku sedang tidur dengan sedikit ternganga mulutnya, tanda nyenyak la tu. Tak sejuk ke Lubna ni, aku sempat menjeling ke arah pendingin hawa. Aku naikkan suhunya dari 20°c ke 24°c. Aku sendiri kesejukan. Tapi Lubna aku tak boleh menyelimutnya dengan kain gebar. Dia tak suka dan aku takut dia terjaga nanti. Dia mungkin ikut fe’el aku dulu-dulu. Aku sejak kecil hingga besar pun tak suka dengan selimut. Aku jarang sangat tidur menggunakan selimut, maklumlah rumah aku dulu tak sejuk macam ni. Aku tarik kain gebar, bersandar ke dinding katil. Aku memang kesejukan. Aku pun buka laptop dan aku tekan punat-punat keyboard ni. Inilah hasilnya sebelum mata terpejam.
Thursday, December 3, 2009
Bebaskan Masyarakat Dari Sekolah!
Dua subjek kali ini tidaklah membebankan sangat. SGDK4054 Kaedah Mengajar Pendidikan Islam diajar oleh Us. Mohd Radzi b. Lebai Man pensyarah jemputan UUM dan sepenuh masa di IPG Jitra. Satu lagi subjek SGDG4032 Sekolah dan Masyarakat diajar oleh Dr. Yaakub b. Daud. Belajar sambil ’enjoy’ tanpa tekanan, secara dua hala dengan banyak perbincangan dan pembentangan mengurangkan ’stress’, berbeza dengan subjek-subjek yang lepas. Di antara dua subjek kali ini, subjek Sekolah dan Masyarakat lebih santai dan bersahaja pembelajarannya.
.....................................................
Subjek ”Sekolah dan Masyarakat” adalah sub dari Sosiologi Pendidikan. Menyebut tentang ”Sekolah dan Masyarakat”, saya teringat sebuah buku yang agak kritis dan kritikal serta kekirian dengan judul ”Deschooling Society” karya Ivan Illich. Sebagai seorang sosiolog, Illich cuba melontarkan pandangan yang agak kritikal, radikal dan kontroversial dengan menyeru agar masyarakat dibebaskan dari belenggu persekolahan. Ideanya membebaskan dari kecenderungan masyarakat yang menganggap bahawa sekolah hanyalah satu-satunya institusi pendidikan dan sumber pengetahuan ilmu. Baginya, untuk membantu anak didik memiliki kesedaran akan sebuah realiti, maka institusi sekolah perlu memberikan pengajaran yang berbasiskan kehidupan sebenar, bukan jauh dari realiti atau anti-realiti.
”Masyarakat bebas sekolah” atau masyarakat tanpa sekolah mungkin satu idea yang agak keterlaluan. Namun tidak salah untuk membaca dan memahaminya. Saya juga cuba mengenengahkan idea ini ketika membentangkan topik ini di dewan kuliah. Memang tidak dapat dinafikan sistem pendidikan hari ini lebih berorientasikan tekstual daripada kontekstual, eksklusif daripada inklusif dan ‘ tidak mesra masyarakat’.
Bagi Illich, sekolah sudah melembaga dalam masyarakat moden sehingga kita kebingungan untuk membezakan makna ‘bersekolah’ dengan ‘belajar’. Hari ini ada yang pergi ke sekolah tanpa belajar dan ada pula mereka yang belajar tanpa pergi ke sekolah. Sebenarnya definisi tentang ‘bersekolah’ itu telah mengacau konsep ‘belajar’ dan ‘mengajar’, naik kelas dengan pendidikan, ijazah dengan kompetensi dan peningkatan kemampuan untuk mengatakan sesuatu yang baru.
Idea ini mungkin agak radikal dan konroversial. Seperti yang saya katakan di dalam dewan kuliah ‘tidak salah untuk berbeza dan tidak perlu janggal untuk mengusung idea yang radikal’. Secara dasar, saya bersetuju dengan sebahagian besar idea membebaskan masyarakat dari sekolah. Radikal ke idea ini?
Friday, November 27, 2009
Hukum Solat Jumaat Pada Hari Raya
Soalan: Apakah hukumnya menunaikan solat Jumaat sekiranya Hari Raya jatuh pada hari tersebut?
Jawapan:
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada Idul Fitri mahupun Idul Adha. Dalam kitab Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah karya Imam Ad-Dimasyqi, dinyatakan bahawa:
“Apabila hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih, dinyatakan bahawa tuntutan solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kampung (pemastautin) yang mengerjakan solat Jumaat. Adapun bagi mereka yang datang dari kampung lain, tuntutan tersebut digugurkan. Demikianlah menurut pendapat Imam asy-Shafie yang sahih. Sekiranya mereka telah menunaikat solat hari raya, dibenarkan bagi mereka untuk terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat.
Ad-Dimasyqi tidak menampilkan pendapat Imam Malik. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menyatakan bahawa pendapat Imam Malik selari dengan pendapat Imam Abu Hanifah. Dinukilkan bahawa, “Imam Malik dan Abu Hanifah bersependapat, ‘Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka mukallaf dituntut untuk melaksanakan kedua-duanya’.”
Pertama, solat Jumaat tidak gugur terhadap penduduk kota (ahlul amshaar / ahlul madinah) yang di tempat mereka ada dilaksanakan solat Jumaat. Bagi mereka yang datang dari kampung atau gurun (ahlil badaawi / ahlul ‘aaliyah), yang di kawasan mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, kewajipannya digugurkan. Maka sekiranya mereka – iaitu mereka yang datang dari kampung – telah menunaikan solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa mengikuti solat Jumaat. Inilah pendapat Imam asy-Shafie. Pendapat ini juga merupakan pendapat Uthman dan Umar bin Abdul Aziz.
Setelah diteliti, didapati bahawa pendapat yang paling rajih adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, rahimahullah. Huraian lanjut mengenai hukumnya adalah seperti berikut:
Hukum pertama, jika seseorang itu telah menunaikan solat hari raya – yang jatuh pada hari Jumaat – maka gugurlah kewajipan ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Ia boleh memilih sama ada hendak menunaikan solat Jumaat ataupun tidak.
Dalil-dalilnya merujuk kepada hadis-hadis Nabi SAW yang sahih, antaranya yang diriwayatkan daripada Zayd bin Arqam r.a., katanya: “Nabi SAW melaksanakan solat ‘Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian baginda memberikan rukhsah (kemudahan.keringanan) dalam solat Jumaat. Kemudian baginda bersabda, ‘Barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah ia solat.” [HR Al-Khamsah, kecuali At-Tirmidzi. Hadis ini sahih menurut Ibnu Khuzaimah)].
Maka solat Jumaat pada hari raya menjadi rukhsah, kerana terdapat uzur iaitu pelaksanaan solat hari raya. Namun disebabkan rukhsah itu tidak menghilangkan azimah sama sekali, maka solat Jumaat masih tetap disyariatkan, sehingga boleh ditunaikan dan boleh juga ditinggalkan. Hal ini dikukuhkan lagi dengan sabda Nabi SAW yang terkandung dalam hadis Zayd bin Arqam “..barangsiapa yang berkehendak (solat Jumaat), hendaklah ia solat…”. Inilah manthuq (ungkapan tersurat) hadis, manakala mafhum mukhalafah (ungkapan tersirat) bagi hadis tersebut – dalam hal ini berupa mafhum syarat, kerana terdapat lafaz ‘man’ sebagai syarat – adalah : “barangsiapa yang tidak berkehendak solat Jumaat, maka tidak perlu baginya menunaikan solat Jumaat”.
Secara dasarnya, kedudukan antara azimah dan rukhsah adalah setara, tiada yang lebih utama melainkan terdapat nas yang menjelaskan keutamaan salah satunya, sama ada azimah mahupun rukhsah.
Namun dalam hal ini terdapat nas yang menunjukkan keutamaan solat Jumaat berbanding meninggalkannya. Dalam hadis Abu Hurairah r.a. yang telah dinyatakan sebelum ini terdapat sabda Nabi SAW “…Dan sesungguhnya kami akan mengerjakan solat Jumaat”. Ini menunjukkan bahawa meskipun baginda SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhsah, akan tetapi Nabi Muhammad SAW tetap mengerjakan solat Jumaat. Sungguhpun demikian, perbuatan Nabi SAW ini tidak wajib, kerana baginda sendiri mengizinkan sama ada hendak menunaikannya ataupun tidak. Maka, perbuatan tersebut sifatnya sunnah, dan bukanlah wajib.
Solat Zohor tetap wajib ditunaikan kerana nas-nas hadis yang telah dinyatakan hanyalah terhadap solat Jumaat dan tidak mencakupi solat Zohor. Kewajipan solat Zohor adalah kewajipan asal (al fardhu al asli), sedangkan solat Jumaat adalah hukum pengganti (badal) bagi solat Zohor. Maka jika hukum pengganti (badal) – iaitu solat Jumaat – tidak dilaksanakan, maka kembalilah tuntutan syarak kepada hukum asalnya, iaitu solat Zohor. Hal demikian adalah dalam mengamalkan “istish-hab”, iaitu kaedah hukum untuk menetapkan berlakunya hukum asal, selama tidak terdapat dalil yang mengecualikan atau mengubah berlakunya hukum asal.
Rukhsah untuk meninggalkan solat Jumaat ini khusus bagi mereka yang sudah melaksanakan solat hari raya. Mereka yang tidak melaksanakan solat hari raya, tidak mendapat rukhsah, dan mereka tetap wajib menunaikan solat Jumaat.
Dalilnya merujuk kepada hadis Abu Hurairah (iaitu hadis kedua) di mana Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang berkehendak (solat hari raya), cukuplah baginya solat hari raya itu, tidak perlu solat Jumaat lagi.”. Ini merupakan manthuq hadis, manakala mafhum mukhalafah-nya pula orang yang tidak melaksanakan solat hari raya, maka ia tetap dituntut untuk menunaikan solat Jumaat.
Oleh itu, orang yang tidak melaksanakan solat hari raya, tidak termasuk dalam pengecualian dari keumuman nas yang mewajibkan solat Jumaat. Mereka yang tidak menunaikan solat hari raya, wajib baginya menunaikan solat Jumaat.
Pendapat Imam asy-Shafie
Secara dasarnya, Imam asy-Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota (ahlul madinah / ahlul amshaar). Bagi penduduk desa atau padang pasir (ahlul badawi) yang berkunjung ke kota untuk solat ‘Eid (dan solat Jumaat), dan di tempatnya tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat.
Imam asy-Shafie berpendapat sedemikian kerana menurut beliau, hadis-hadis yang menerangkan gugurnya kewajipan solat Jumaat pada hari raya bukanlah hadis-hadis yang sahih dan beliau tidak beramal dengannya. Berkenaan pendapat Imam Shafie itu, Imam ash-Shan’ani dalam Subulus Salam berkata: “Asy-Shafie dan segolongan ulama; berpendapat bahawa solat Jumaat tidak menjadi rukhsah. Mereka berhujah bahawa dalil kewajipan solat Jumaat bersifat umum untuk semua hari (termasuklah pada hari raya). Hadis-hadis dan atsar-atsar (yang menjadikan solat Jumaat sebagai rukhsah) tidak cukup kuat untuk menjadi takhsis (pengkhususan) kewajipan solat Jumaat, kerana sanad-sanad hadis tersebut telah diperselisihkan ileh ulama’. Saya (ash-Shan’ani) berkata, “Hadis Zayd bin Arqam telah dinilai sahih oleh Ibnu Khuzaimah. Maka hadis tersebut boleh menjadi takhsis…”
Oleh demikian, jelaslah bahawa Imam Shafie tidak menilai hadis Zayd bin Arqam tersebut sebagai hadis sahih, sehingga beliau tidak menjadikannya sebagai takhsis yang menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Beliau kemudian berpegang kepada keumuman nas yang mewajibkan solat Jumat pada semua hari (ayat 9 surah al-Jumu’ah). Namun, Imam ash-Shan’ani menyatakan bahawa hadis Zayd bin Arqam adalah sahih menurut Ibnu Khuzaimah.
Ibnu Rusyd menjelaskan hujah kedua-dua Imam tersebut; “Imam Malik dan Abu Hanifah berkata, ‘Solat hari raya adalah sunnah, sedang solat Jumaat adalah fardhu, dan salah satunya tidak dapat menggantikan yang lainnya. Inilah yang menjadi prinsip asal (al-aslu) dalam masalah ini, kecuali jika terdapat ketetapan syara’, maka wajib merujuk kepadanya…’
Imam Ash’ani menjelaskan bahawa pendapat ‘Atha’ tersebut didasarkan kepada tiga alasan, iaitu:
Pertama, berdasarkan perbuatan Ibnu Zubayr r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, bahawa: “Dua hari raya (hari raya dan hari Jumaat) telah berkumpul pada satu hari.
yang sama. Lalu dia (Ibnu Zubayr) mengumpulkan kedua-duanya dan melakukan solat untuk kedua-duanya sebanyak dua rakaat pada pagi hari. Dia tidak menambah atas dua rakaat itu sampai dia mengerjakan solat Asar”.
Kedua, solat Jumaat adalah hukum asal (al-asl) pada hari Jumaat, sedangkan solat Zohor adalah hukum pengganti (al-badal) bagi solat Jumaat. Maka, jika hukum asal telah gugur, maka secara automatiknya gugurlah hukum penggantinya.
Ketiga, pada zahirnya dari hadis Zayd bin Arqam, Rasulullah SAW telah memberi rukhsah pada solat Jumaat. Namun baginda SAW tidak memerintahkan untuk solat Zohor bagi orang yang tidak melaksanakan solat Jumaat.
Demikianlah alasan yang digunakan. Imam ash-Shan’ani tidak menerima pendapat tersebut dan telah membantahnya. Menurutnya, setelah solat hari raya Ibnu Zubayr tidak keluar dari rumahnya untuk solat Jumaat di masjid, maka tidaklah dapat dipastikan sama ada Ibnu Zubayr menunaikan solat Zohor ataupun tidak. Berkemungkinan (ihtimal) bahawa Ibnu Zubayr solat Zohor di rumahnya. Apa yang pasti, menurut Imam ash-Shan’ani, Ibnu Zubayr tidak mengerjakan solat Jumaat.
Berdasarkan huraian yang telah diberikan, dapatlah disimpulkan bahawa sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat, maka hukumnya adalah seperti berikut:
Ketiga, bagi mereka yang tidak menunaikan solat hari raya pada hari tersebut, wajib baginya untuk solat Jumaat. Dia tidak boleh meninggalkan solat Jumaat lalu menunaikan solat Zohor sebagai ganti.
Demikianlah hasil pentarjihan bagi masalah ini berdasarkan dalil-dalil syarie yang ada. Wallahua’lam.
Sunday, November 22, 2009
Puasa Sunat Hari Arafah
Dalam yang sama Malaysia menerusi pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1430 H juga jatuh pada 27 November 2009 M. Ini bermaksud tarikh 9 Zulhijjah 1430 jatuh pada 26 November 2009 M ( Khamis ) dan Hari Raya Idil Adha akan di sambut di Malaysia pada 27 November 2009 M ( Jumaat ).
Thursday, November 19, 2009
Pengantar Tafsir Tematik (Siri 2)
Para pengkaji memberikan pelbagai takrifan tentang tafsir tematik, antaranya ialah:
- Dikatakan: iaitu menghimpunkan ayat-ayat yang berselerakan di dalam surah-surah al-Quran, yang berhubungan dengan satu tema sama ada berbentuk lafaz atau hukum; menafsirnya berdasarkan tujuan-tujuan penurunan al-Quran.
- Dikatakan: iaitulah satu ilmu yang menyentuh isu-isu yang didasari oleh tujuan-tujuan al-Quran melalui satu surah atau lebih.
Sebilangan pengkaji telah menulis mengenai tafsir tematik; pertumbuhan dan perkembangannya serta isi kandungan buku-buku mereka mengenai tatacara mentafsir al-Quran melalui pendekatan tematik. Di antara buku-buku yang menjadi pedoman berkenaan ilmu ini adalah:
- “Al-Bidayah fi at-Tafsir al-Maudhu’i”, oleh Abd. Haq al-Farmaawi;
- “Al-Madkhal ila at-Tafsir al-Maudhu’i”, oleh Dr. Abd. Sattar Fathullah Said;
- “Mabahith fi at-Tafsir al-Maudhu’i”, oleh Dr. Mustafa Muslim Muhammad;
- “Dirasat fi at-Tafsir al-Maudhu’i”, oleh Dr. Zaahir ‘Awwadh al-Alma’ie;
- “At-Tafsir al-Maudhu’i Bayna an-Nazhariyah wa at-Tatdbiq”, oleh Dr. Solah Abd. Fattah al-Khaalidi.
Permulaan Tafsir Tematik:
Tafsir tematik sebenarnya telah muncul pada awal zaman Islam, tetapi istilah “Tafsir Tematik ” atau “Tafsir Maudhu’i” merupakan istilah baru yang mulai jelas pada kurun ke-14 Hijrah.
Pertumbuhan Tafsir Tematik:
Walau pun tafsir tematik ini merupakan istilah yang baru -seperti yang telah disebutkan- tetapi permulaannya sudah lama. Pertumbuhan tafsir tematik ini dibahagikan kepada tiga peringkat:
1. Sebahagian ulama melihat bahawa permulaan tafsir tematik ini sudah wujud sejak zaman Nabi lagi; seperti menghimpun di antara petunjuk-petunjuk ayat dan menafsirkan antara satu sama lain. Contohnya apa yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim serta lain dari keduanya, bersumberkan dari Abdullah Bin Mas’ud -Allah telah meredhainya- yang telah berkata: Tatkala turun ayat ini “Orang-orang orang yang beriman itu tidak mencampur adukkan iman mereka dengan syirik (kezaliman)”[al-An’am:82], orang ramai menjadi susah hati, maka mereka berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah di antara kami yang tidak menzalimi dirinya? Berkata Rasulullah: Ianya bukan apa yang kamu maksudkan. Apakah kamu tidak mendengar apa yang telah dikatakan oleh seorang hamba yang soleh (Luqman al-Hakim): Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar [Luqman:13], sesungguhnya ia adalah syirik.
2. Kemudiannya penyusunan tafsir tematik ini disusun melalui cara yang lebih jauh dari cara yang lepas, iaitulah bentuk tafsir tematik yang kita maksudkan; di mana sebahagian ulama menyusun di dalam kitab-kitab mereka berkenaan tema-tema yang berkaitan dengan al-Quran. Di antara kitab-kitab tersebut adalah:
- An-Naasikh wal-Mansukh fi al-Quran, Qatadah Bin Di'aamah as-Saduusi, wafat tahun 118H.
- Majaz al-Quran, Abi Ubaidah Ma'mar Bin al-Muthanna, wafat tahun 210H;
- Asbab an-Nuzul, Ali Bin al-Madieni, wafat tahun 234H;
- Ta'wiel Mushkiel al-Quran, Ibnu Qutaibah, wafat tahun 276H;
- Ahkam al-Quran, Abu Bakar al-Jasshosh, wafat 370H;
- Aqsam al-Quran, Ibnu al-Qayyim, wafat tahun751H.
Selain kitab-kitab di atas, juga terdapat banyak kitab tafsir lain berkenaan pelbagai tema yang diangkat daripada al-Quran. Juga didapati bentuk tafsir tematik di atas kebanyakannya berbicara tentang disiplin-disiplin ilmu yang berkaitan dengan al-Quran semata dan para penulis tidak membahaskan berkenaan perbahasan-perbahasan yang lain.
Monday, November 16, 2009
Liqa' Alumni al-Eman Yaman
Assalamualaikum wbrth!
Check In: 2.00 ptg;
email: hulaim_eman@yahoo.com
Sunday, November 15, 2009
Untung Jadi Guru
Sudah menjadi tradisi di Maktab Mahmud Kuala Muda –dulu SAR Tarbiah an-Nashiin-, selesai sahaja peperiksaan akhir tahun, di kesibukan guru-guru memeriksa/menanda kertas peperiksaan, kelas-kelas pula berlumba-lumba mengadakan jamuan akhir tahun. Masing-masing sibuk. Pelajar-pelajar sibuk membuat persiapan dan menyediakan jamuan. Guru-guru sibuk memenuhi undangan. Mengah kekenyangan. Alhamdulillah syukur!
Thursday, November 12, 2009
Pengantar Tafsir Tematik (Siri 1)
Tafsir bi al-ma’thur adalah tafsir yang menggunakan nas dalam menafsirkan, baik al-Quran dengan al-Quran mahu pun al-Quran dengan sunnah. Dengan kata mudah, tafsir bi al-ma’tsur adalah tafsir antara nas (inter-text). Sementara tafsir bi al-ra’y atau dikenali juga dengan tafsir dirayah; tafsir yang lebih menumpukan pada ijtihad yang sahih.
Namun ada juga tafsir isyari dan tafsir janggal (gharaib al-tafsir). Tafsir isyari adalah penafsiran al-Quran yang berlainan dengan zahir ayat karena ada petunjuk yang tersirat hanya diketahui oleh sebahagian ulama atau orang-orang tertentu. Tafsir janggal adalah tafsir yang tidak sejalan dengan tafsir pada umumnya. Kedua tafsir ini tidak diterima oleh umum ulama, hanya orang-orang tertentu yang menerimanya.
Dari tafsir bi al-ma’thur dan bi al-ra’y telah muncul method atau corak penafsiran baru yang menjadi pilihan para mufassir atau ulama yang ingin menafsirkan al-Quran mutakhir kini iaitu tafsir tematik (juga disebut tafsir maudhu'i). Penulisan ”Pengantar Tafsir Tematik” inilah yang dimaksudkan dalam perbahasan dan akan menjadi fokus utama perbincangan ini.
Pembahagian Tafsir:
Tafsir melalui bentuk penulisannya dibahagikan kepada empat bahagian:
1. Tafsir analisa; iaitu penafsir menelusuri setiap ayat dengan menganalisis secara luas dan mendalam; dengan membentangkan pelbagai tajuk, perbahasan dan permasalahan; baik yang berkaitan akidah, nahu, balaghah, qiraat, hukum-hakam dan sebagainya. Perbahasan di dalam tafsir bentuk ini berbeza antara satu kitab dengan kitab yang lain berdasarkan panjang dan pendek; ada di antaranya berkadar sederhana; ada di antaranya yang sangat panjang.
2. Tafsir Global; iaitu penafsir menerangkan maksud ayat secara global/umum tanpa memperluas atau memperdalam huraiannya; tanpa membentangkan perbahasan yang detail dalam aspek akidah atau bahasa atau fekah. Di antara contoh tafsir bentuk ini: “Taysir al-Kariem ar-Rahmaan fi Tafsir Kalam al-Mannan” oleh Syeikh Abd. Rahman as-Sa’di, “Tafsir al-Manar” oleh Muhammad Rasyid Redha dan “Aysir at-Tafaasir”oleh Abu Bakar al-Jazaairi.
3. Tafsir al-Muqaran; iaitu penafsir melakukan komperatif (perbandingan) di antara sekumpulan ahli tafsir yang berbeza pada manhaj mereka; dengan cara menghimpun penafsiran mereka pada sejumlah ayat atau surah yang pendek untuk mengetahui manhaj setiap dari mereka dan cara-cara mereka menyusun tema; dengan membandingkan manhaj antara setiap mereka; dengan menerangkan bentuk-bentuk perbezaan yang terdapat di antara mereka. Penulis tafsir yang berbentuk ini menjelaskan pendapat-pendapat ahli tafsir dan bentuk-bentuk persamaan dan perbezaan antara mereka; menjelaskan kepada kita pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan mereka sejauh mana berkait antara satu sama lain atau berbeza.
4. Tafsir tematik; merupakan topik perbahasan kita dan insyaAllah akan dilanjutkan perbincangannya selepas ini. (bersambung...)
Wednesday, November 11, 2009
Menyebar Maklumat Bohong Ke Neraka
Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan Jabatan IT PAS Pusat. Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua peringkat kepada Islam.
Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai. Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah itu ke dalam hati manusia. Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal dunia.
Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai. Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam. Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.
Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan kejahatan di muka bumi Allah SWT. Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal dengan akhlaq dan adab-adab Islam.
Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar. Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.
Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita. Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan yang paling mahal harganya”.
Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat".
Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk, maka dia berdosa kerana melakukan kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat. Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar. Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.
Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran. Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa. Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia. Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.
Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita. Imam Nawawi menyebut satu hadith di mana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.
Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah. Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.
Di sini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain. Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas. Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara kita.
Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil dan lalai. Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan membawa kepada perubahan pemikiran.
Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat . Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan.
Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone. Itu hanyalah segelintir. Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik dalam negara.
Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar. Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.
Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk parti BN yg memerintah. Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.
Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak seimbang.
Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda. Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu daripada kekuatan”.
Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita.
Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.
Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari. Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada dalam hati sanubari kita. Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS. Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar. Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.
Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia” Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan. Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman masyarakat terhadap kita lebih penting.
Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan. Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang tersirat kurnia daripada Allah SWT. Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini. Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara dan lebih luas dan moden.
Di sini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh melihat yang lama sahaja. Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini. Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat bermakna kepada kita. Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.
Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada Allah”. Kita rasmikan majlis ini.
Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt
Tuesday, November 10, 2009
Terlebih Lajak Dari Laju
Saya tertarik dengan isu terkini iaitu isu bai’ah PAS. Bai'ah merupakan perjanjian untuk memberi ketaatan dan bersama dalam perjuangan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan diri dan urusannya kepada ketua, pemimpin atau perjuangannya. Ianya merupakan perbuatan sunnah Nabi SAW. Nabi SAW dan para sahabatnya pernah berbai’ah antaranya dalam Bai’ah al-Aqabah pertama dan kedua, bai’ah dalam perang Badar, Bai’ah ar-Ridwan di bawah pokok dan lain-lain bai’ah.
Bai’ah tidak salah. Bai’ah bertujuan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ubadah bin Shamit meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW mengambil sumpah setia kami pada malam pertama di ‘Aqabah, bahawasanya kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan apa pun juga, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan berdusta, melindungi apa saja yang ada di depan atau di belakang kami dan tidak membantah perintah baginda dalam hal kebajikan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bai’ah juga perjanjian dan taat setia untuk bersama-sama dalam perjuangan, tidak lari dan meninggalkan amanah perjuangan. Sahabat-sahabat pernah berbai’ah untuk bersama Rasulullah SAW dalam perang Badar: Sa’ad bin Muaz berkata: “Demi Allah, kamu seolah-olah hendakkan kami wahai Utusan Allah.” Nabi SAW menjawab: “Benar.” Berkata Sa’ad: “Seseungguhnya kami telah beriman dan membenarkan kamu, kami telah menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar belaka, dan kami menyatakan janji dan taat setia kami kepadamu, maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki, kami akan bersamamu, dan demi Yang Mengutuskan kamu (Allah) dengan kebenaran, jika engkau membentangkan kepada kami lautan ini dan engkau menyeberanginya nescaya kami juga akan mengharunginya bersama kamu.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah).
Kembali persoalan di atas. Apa salahnya dengan bai’ah PAS? Menjadi isu bila di’katakan’ arahan pimpinan atasan PAS supaya pemimpim-pemimpin, bakal-bakal calon PAS dalam pilihanraya supaya berbai’ah dengan parti atas kesetiaan mereka dengan mentalak isteri dengan 3 talak jika memungkiri bai’ah. Ramailah ilmuwan Islam –ilmuwan semulajadi dan ilmuwan jadisendiri- melatah menolak bai’ah sebegini. Ungkapan mereka seperti ”membawa mudarat” ”melampau” ”bertuhankan politik” ”tidak bertamadun” ”menjatuhkan imej Islam” dikutip oleh media (jika benar kenyataan mereka seperti yang disiarkan media).
Saya sendiri secara peribadi tidak bersetuju (jika benar ini adalah bai’ah yang diarahkan oleh PAS pusat atau mana-mana pimpinan tertinggi PAS). Jika benar perkara tersebut berlaku, PAS dan pimpinannya perlu jujur dan kembali mengintrospeksi diri dan parti. Bai’ah dengan ’mempajakgadaikan’ isteri bukan perkara yang pernah ditunjuki Nabi, tidak ada dalam warta syariat Allah bahkan tidak molek atas ukuran adat dan budaya. Politik dan berpolitik tetap ada had dan batasannya dalam keluasan rahmat dan syariat Islam.
Namun, ini bukanlah isu yang ingin saya ketengahkan di sini. Hari ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah membuat penafian bahawa pernah wujud arahan dari PAS pusat terhadap bai’ah talak 3 isteri selepas di arahkan oleh Presiden parti. Penafian ini dibuat setelah beberapa ketika bai’ah PAS ’dibelasah’ oleh segelintir tokoh ilmuan yang ada sindrom ’melatah’ apabila dicuit (cuit sebelah shj).
Memang sudah menjadi trend, bila ada isu yang boleh ’dikenakan’ ke atas PAS, tanpa usul periksa dan tanpa diselidiki sudah keluar komen-komen negatif dan buruk terhadap PAS. Ringan dan lancar sahaja mulut SS Tan Sri Harussani, Prof. Datuk Mahmood Zuhdi, Datuk Noh Gadut, YB Sen. Datuk Mashitah dan lain-lain. Tanpa berkias dan berlapik.
Islam mengajar kita menyelidiki sebarang berita yang dibawa terutama dari media yang merupakan ”kalam khabari” bererti membawa berita benar dan palsu. Pentingnya menyelidiki berita ini telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:
يأيها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنباء فتبينوا…
"Wahai mereka yang beriman! Jika kamu didatangi si fasiq dengan sesuatu berita, maka hendaklah kamu periksa (asas, latarbelakang atau kebenarannya)".
Sebaiknya para ilmuan tadi belajar daripada Abu Bakar as-Siddiq RA, yang berlapik dalam memberi ulasan. Pasca peristiwa al-Israk wal Mi’raj Nabi SAW seperti yang diceritakan oleh Ibn Hisyam dalm Sirahnya. Abu Jahal dan barisan sekutunya mempunyai modal untuk mempermain-main dan memperolok-olok Nabi SAW dari peristiwa israk Nabi –yang tidak logik dan mustahil pada akal pada waktu itu-, lalu bertanya kepada Abu Bakar RA tentang pendiriannya:
...فقالوا : هذا صاحبك يقول كذا وكذا ، فقال : أوقد قال ذلك ؟ قالوا : نعم ، فقال : إن كان قال ذلك فقد صدق…
“…teman kamu (Muhammad) menceritakan sekian perkara (peristiwa israk yang tidak masuk akal oleh orang musyrikin Mekah), lalu bertanya Abu Bakar: adakah itu yang disebut oleh Muhammad? Mereka berkata: Ya! Kata Abu Bakar: jika demikianlah yang dikatakan oleh Muhammad, maka memang benarlah apa yang dikatakan olehnya...”.
Lihat bagaimana method menjawab –juga mengulas- yang boleh dipelajari dari Abu Bakar RA. Bagi Abu Bakar RA, cerita israk hanya berlaku semalaman memang sukar untuk diterima akal yang sihat lagi waras –pada zaman tersebut- lalu meminta kepastian memang Nabi SAW sendiri yang menceritakan atau ianya merupakan kelentongan Abu Jahal semata-mata. Abu Bakar RA percaya dengan sepenuh jiwa jika ianya memang keluar dari mulut Nabi SAW kerana segala peristiwa yang mustahil pada akal tidak mustahil berlaku pada Nabi SAW lantaran mukjizat yang dipunyai baginda. Abu Bakar RA berlapik dalam menjawab pertanyaan tersebut.
Sebaiknya para ilmuan di atas –dan lain-lain- tidak membuat komen atau ulasan sebelah pihak tanpa mengetahui kebenarannya. Sekurang-kurangnya berlapiklah dengan: ”Jika benar apa yang dikatakan oleh......, maka saya berpendapat.....”. Ini juga manhaj ulama hadith seperti Ibn Khuzaymah, al-Bayhaqi, Ibn Abi Syaybah, Ibn Abdil Bar, as-Suyuti yang berlapik dengan perkataan ”إن صح/ إن صح الخبر “ apabila mereka ragu-ragu tentang status sebuah hadith atau status sebuah hadith masih diperdebatkan kesahihannya.
Friday, November 6, 2009
Antara Tauliah Dan Warta Rokok
Kami memilih meja tengah di kawasan luar kedai untuk duduk. Selesa dan nyaman. Ketika sedang menikmati nasi di dalam pinggan, gegendang telinga saya dapat menangkap butir perbualan sekumpulan lelaki yang baru lepas makan dan sedang menghisap rokok. Perbualan mereka berkisar tentang rokok.
”Abang! jauh menung, ada apa?”. ”Takda apa lah” jawab saya sambil tersengih. ”Ada apa, bagai tau la”. ”Nanti la abang bagi tau dalam kereta”.
Selepas membayar harga makanan, saya bersama isteri menuju ke kereta dan kami bertolak pulang. Waktu zohor masuk awal sekarang, hari ni kan hari jumaat.
Dalam kereta, tanpa diminta, saya menunaikan janji di kedai makan tadi. ”Abang nak buat kajian”. Terkejut isteri saya. ”Kajian apa pulak abang?”. ”Wadah dengar tak apa yang orang di sebelah kita sembang tadi?”. ”Ntah, tak perasan pulak”.”Depa sembang tentang rokok”.
Saya terangkan kepada isteri tentang kajian yang saya maksudkan. Saya hanya rancang spontan di dalam kepala. Kajian spontan saya sebenarnya bias, tanpa objektif dan dapatan kajian pun telah diperolehi serta saya juga telah menyiapkan saranan dan cadangan yang perlu dikemukakan.
Kajian tersebut saya namakan ”Keberkesanan Penyampaian Warta Keharaman Merokok Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-37: Kajian Di Negeri Selangor”.
Seperti yang kita ketahui, bidangkuasa pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri-negeri, maka pewartaan sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan adalah di bawah bidangkuasa negeri. Di samping itu, pengautkuasaan fatwa juga adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri dan tidak ada mana-mana negeri boleh dipaksa untuk menerima fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Berkaitan hukum haram merokok, Selangor antara negeri yang terawal mewartakannnya. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.
Berkaitan dengan kajian saya tersebut, antara soalan kaji selidik yang ingin saya kemukakan kepada pakcik-pakcik yang bersandar dan bersembang di koridor masjid selepas solat maghrib sambil menghisap rokok; kepada pemerhati-pemerhati politik yang berbahas di kedai-kedai kopi; kepada orang awam perseorangan serta perkumpulan di kampung dan di pekan. Antara soalan kaji selidik saya yang utama adalah:
1. Apakah hukum merokok?
a. Harus b. Makruh c. Haram
2. Adakah pakcik tahu merokok itu hukumnya haram?
a. Tahu b. Tidak pasti c. Tidak tahu
3. Pernahkan pakcik mendengar/melihat siaran/makluman/hebahan dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentang hukum merokok adalah haram?
a. Ya b. Tidak pasti c.Tidak
Bagi soalan pertama, saya yakin majoriti akan memilih (b). Soalan kedua pula kebanyakan akan memilih (c) dan bagi soalan ketiga kebanyakan akan memilih (c) serta sebahagian juga akan memilih (b).
Daripada soalan kaji selidik ini, saya membuat kesimpulan bahawa penyampaian dan penyebaran warta hukum haram merokok oleh JAIS tidak berlaku, tidak berkesan dan tidak menyeluruh. Dapatan kajian saya juga mendapati JAIS tidak buat kerja yang sepatutnya.
Maka di sini saya ingin memberikan beberapa saranan dan cadangan kepada JAIS:
1.Penyampaian dan penyebaran hukum haram merokok yang telah diwartakan fatwanya oleh negeri Selangor perlu dilakukan dengan berkesan. Siaran melalui tv dan radio, hebahan melalui internet, surat khabar, teks2 khutbah jumaat dan notis2 yang ditampal di masjid/surau dan tempat2 strategik di negeri selangor.
2. JAIS perlu amanah dalam menjalankan tugas dan tidak bersikap double standard serta mengikut telunjuk pihak yang berkepentingan.
3. Jangan hanya memikirkan keuntungan duniawi dan rela berdiam diri terhadap perkara haram dan munkar demi menjaga periuk nasi.
4. Kuatkuasan terlebih dahulu tindakan terhadap perokok di kalangan pihak berkuasa agama, pegawai2 dan ustaz2 yg merokok.
PENUTUP:
Merokok hukumnya haram. Fatwa ini telah diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke -37 dan telah diwartakan oleh kebanyakan negeri di Malaysia. Selangor antara negeri yang terawal mewartakannya. Apa yang menyedihkan, hebahan mengenai fatwa ini tidak menyeluruh dan tidak ’turun ke bawah’. Adakah pihak berkuasa agama memejam sebelah mata? Atau mungkinkah kerana ada pihak-pihak yang berkepentingan yang tidak ingin melihat rokok diharamkan kerana orientasi keuntungan?
p/s: Kajian ini bukan untuk negeri Selangor sahaja, tetapi untuk kesemua negeri dalam Malaysia dan terutamanya pihak berkuasa agama negeri-negeri.
Thursday, November 5, 2009
Jom Amik Tauliah...
Ini kali ketiga saya sampai di IQ. Kali pertama ketika Dr. MAZA (belum Dr. lagi ketika itu) berdebat dengan Astora Jabat, kalau tak silap saya tahun 1998. Kedua, pada bulan Ramadhan tahun lepas, menyampaikan tazkirah Ramadhan di situ. Malam kelmarin merupakan kali ketiga.
Tidak ada apa yang menarik sebenarnya untuk dikongsi cerita/ceramah pada malam tersebut kerana semuanya seperti mana yang telah umum ketahui. Fitnah, hasad dengki dan kejumudan pemikiran.
Kelmarin di dalam akbar-akbar tempatan, terdapat segelintir tokoh agama dan memberikan reaksi pro terhadap isu tauliah dan justifikasi tangkapan JAIS tersebut. SS Tan Sri Harussani Zakaria, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Uthman el-Muhammady dan lain-lain.
Jika berdasarkan hujah mereka, beberapa perkara berkenaan tauliah ni perlu diberikan perhatian:
1. Semua guru, warga pendidik dan pensyarah yg ada kaitan dengan subjek pengajian/pendidikan Islam di Selangor khusus dan seluruh Malaysia umumnya perlu mendapatkan tauliah dari jabatan2 Agama Islam Negeri sebelum mengajar di sekolah/universiti kerana mereka mengajar di premis yang terletak di negeri yang mempunyai kuasa mutlak terhadap perkara yang berkaitan dengan penyebaran dakwah dan agama Islam.
2. Pastikan tetamu jemputan untuk rancangan agama terbitan Media Prima spt al-Kuliyyah, Halaqah dan lain2 mempunyai tauliah kerana mereka membuat rakaman atau bersiaran langsung dari studio yang terletak di Shah Alam Selangor kebiasaannya dan studio tersebut merupakan premis yang terletak di dalam negeri Selangor.
Saya juga yakin tokoh2 seperti di atas telah mengambil tauliah untuk berceramah di setiap negeri dalam Malaysia kerana mereka bebas berceramah tanpa sebarang sekatan dan tidak ditangkap setakat ini.
Dalam zaman canggih dan maklumat tanpa sempadan ni pun ada lagi yang hidup dalam zaman dark ages. Pelik laa....
Apa pun tahniah sebab dalam kesibukan mengantarabangsakan jenama Malaysia, satu lagi taraf antarabangsa telah diperolehi, iaitu LAWAK ANTARABANGSA. Katun sungguh...
Wednesday, November 4, 2009
Ketam! Oh Ketam!
Sudah lama saya tidak menikmati kelazatan ketam yang berisi penuh dan merah. Ketam Nipah ini, adik saya yang kebetulan pulang bercuti membelinya dari seorang teman lama saya (Ali dan sedang meningkat naik menjadi penternak ikan air masin, udang dan ketam yang berjaya) dengan harga RM15 sekilo. Adik saya membeli 2 kilo. Seekor daripadanya betina dan mempunyai banyak telur. Adik saya menelefon saya ketika saya berada di sekolah dan menjemput saya singgah di rumah untuk menikmati gulai ketam dengan nenas ranum. Mencecer air liur saya membayangkannya. Saya berjanji akan pulang ke kampung petang selepas menjemput isteri di Butterworth dan singgah mengambil anak di rumah pengasuh.
Dalam perjalanan pulang ke kampung, saya mengimbas kembali kenangan lampau. Saya seorang penangkul (baca:penangkap) ketam. Saya bergelumang dengan selut paya bakau, hutan nipah, sungai air masin sejak belum bersekolah sehinggalah bila saya menjejaki kaki ke asrama SMKA al-Mashoor (L) di tingkatan 4. Pantang cuti sekolah, sama ada cuti mingguan atau penggal –juga cuti sendiri-, saya akan turun ke hutan bakau dan sungai air masin yang berada di hujung dan pinggir kampung.
Dengan membimbit, terkadang menjinjing tangkul buluh (sudah pupus), 10 biji di tangan kanan dan 10 biji lagi di tangan kiri, bersama-sama dengan teman sekampung dan terkadang ditemani oleh adik, kami keluar awal pagi di rumah. Kami bawa bersama umpan untuk diletakkan pada tangkul iaitu ikan ketuka –spesis pari dan lebih kecil dari pari- atau ikan duri yang telah di potong. Menunggu air pasang, tangkul kami lempar di parit-parit yang mengelilingi kolam udang harimau milik penternak cina. Bila air mula pasang, kami angkat tangkul dan mengutip hasilnya (ketam) jika ada dan mengubah tangkul ke alor-alor sungai. Bila air semakin dalam, kami angkat lagi tangkul dan pindahkan lagi ke anak-anak alor. Air pasang menuju kemuncaknya, sekali lagi kami angkat –ianya kali terakhir- kami tahan tangkul kami di darat hutan bakau, di tempat-tempat strategik dan menjadi laluan ketam.
Ketika mengangkat tangkul dan mengutip ketam, kami bawa bersama kami penjauk atau guni, guna untuk mengisi ketam. Penjauk atau guni awal-awal lagi kami isikan dengan dengan daun bakau atau nyireh atau betut atau alang gadai dengan mematahkan hujung rantingnya. Daun-daun ini berfungsi menghalang ketam-ketam yang kami masukkan ke dalam guni atau penjauk daripada berkelahi yang boleh menyebabkan ketam-ketam tersebut tercedera, patah sepit yang akhirnnya boleh merugikan kami.
Penjauk atau guni yang berisi ketam kami bawa ke gumuk atau daratan tinggi yang tidak dinaiki air, kami keluarkan seekor demi seekor ketam untuk diikat. Mengikat ketam ada seninya tersendiri. Harus berhati-hati supaya tidak disepit oleh ketam terutama ketam betina yang mempunyi gigi di sepit yang sangat tajam. Gigi di sepit ketam jantan (semakin tua ketam jantan itu, semakin tumpul gigi sepitnya) lebih tumpul dari ketam betina dan ketam betina mampu memutuskan jaring perangkap ketam.
Ketam dikeluarkan dan diletak di kaki. Hujung kaki digunakan untuk memijak ketam dengan lembut tetapi kemas dan kuat. Tali pengikat ketam dibawa dari rumah. Tali pengikat ketam yang paling baik diambil dari upih pinang yang liat atau dari pelepah pokok pisang. Bukan semua pokok pisang pelepahnya boleh dibuat tali pengikat ketam kerana ada yang rapuh dan mudah terputus. Pelepah pisang nangka dan awak menjadi pilihan kami terutama awak legor dan awak padang yang terbukti sangat liat. Kelebihan pengikat tali pisang ini juga boleh menambahkan berat timbangan kerana tali dari pelepah pisang dapat menyerap air dan kelembapannya tahan lama.
Ketam telah berada di hujung jari kaki, tali pengikat yang panjangnya lebih kurang sedepa diletakkan di bawah badan ketam –sama panjang sisi tali- lalu ditarik naik ke atas penyepit melalui celah sepit (kedua-dua belah tangan perlu bergerak serentak) dan tali melingkari atas penyepit lalu ditarik semula ke bawah dan diulang lagi sehingga kedua-dua belah penyepit dibalut kemas dengan tali pengikat. Baki dua sisi tali tadi dibawa ke belakang ketam dan diikat keduanya dengan ikatan buka sila. Siaplah ketam terikat.
Tentang mengikat ketam ini ada pepatah yang terkenal di kalangan penangkul ketam: ”sesiapa yang belum pernah disepit ketam ketika mengikat ketam, dia masih belum menjadi pakar dan penangkul sejati”. Saya? Terlalu banyak kali disepit ketam. Sama ada saya memang pakar penangkul ketam atau saya gopoh dan tidak berhati-hati semasa mengikat ketam, saya pun tak pasti. Apa pun, yang saya pasti saya masih boleh mengenali ketam jantan dan betina dengan melihatnya bentuknya sahaja, melihat sama ada seekor ketam betina ada telur atau tidak dengan melihat durinya dan seekor ketam isinya penuh atau kurang dengan menekan di sebelah bawah dan hujung kulitnya. Dunia ketam adalah dunia saya! Dulu la...
Kadang-kadang saya pinjam perahu orang kampung (Abg Kob/Yaakob). Ayah saya ada perahu, tapi dia tidak membenarkan saya menggunakan perahunya walau pun dia tidak turun ke sungai. Alasannya mudah. Merbahaya. Selalunya saya mengajak seorang kawan sebaya untuk sama-sama turun ke sungai dengan perahu, menangkul ketam dan kami membawa tangkul masing-masing.
Dengan arus sungai yang deras dan dalam, perahu yang kecil, sudah pasti keadaan ini berbahaya bagi kami yang masih kecil dan kanak-kanak. Walau pun tidak setanding bahaya penangkap ketam seperti dalam ”Deadliest Catch” di channel Discovery, kisah penangkap ketam di Laut Bering, air pasang besar/dalam di Sungai Terus yang mengalir dari muara Sungai Merbok yang memisahkan antara Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai tetap memberikan cabaran yang hebat dan berbahaya. Hari ini kalau saya ada anak lelaki sebaya saya ketika itu, saya sekali-kali tidak akan membenarkan ia turun ke sungai seperti saya. Tetapi sungai dan ketam adalah sumber duit poket saya untuk bersekolah dan membeli apa sahaja barang yang saya kehendaki, terutamanya buku. Saya masih ingat lirik lagu yang kami nyanyikan ketika mendayung perahu sama ada perahu kami menyonsong atau menongkah arus deras sungai:
”Kami penangkul...penangkul,
Hidup di sungai,
Bekerjasama penuh bersemangat
Tangkulan kami untukmu rakyat,
Kamilah penangkul,
Sungailah harapan”.
Lirik ini sebenarnya kami ubahsuai dari lagu ”Nelayan”.
Ketam yang saya dapat, dijual kepada peraih yang datang ke rumah atau di tempat yang ditetapkan. Harganya ketika itu RM 4.50 sekilogram. Purata sehari kami dapat tangkap sekitar 5 kilogram ketam.
Erm, dari nak balik makan gulai ketam jer, melalut sampai ke sini....apa pun thanks kpd yg sudi baca sekelumit kisah hidup saya dengan ketam nih....
*Hari ni ada gangguan bekalan elektrik di sekolah. Saya tak tahu nak buat apa, pelajar2baru abis menduduki peperiksaan akhir tahun dan kertas KHB tingkatan 1A2 dah siap saya marking. Duduk dlm bilik guru terasa hawa panas, saya rasa sgt dahaga. Saya ambil laptop dan bawa ke kantin, duduk di ruangan terbuka. Segar, badan disapa angin. Saya pesan air teh o ais limau dan saya buka laptop lalu saya coret cerita di atas. Bateri laptop dah weak, saya terpaksa berhenti menulis di sini shj.