Wednesday, November 4, 2009

Ketam! Oh Ketam!


Kami memanggilnya Ketam Nipah, Ketam Nyok dan juga Ketam Bakau; spesis ketam yg hidup di kawasan paya bakau, berlumpur dan berair masin. Nama saintifiknya Scylla Serrata. Orang luar memanggilnya Ketam Batu, nama yang kami orang tempatan tidak menyukainya. Nama Ketam Batu ( nama saintifiknya Paralithodes) memberi konotasi yang kurang baik dan tak enak didengar –makan tetap enak- kerana Ketam Batu dikatakan hidup dua alam dan haram dimakan. Ketam yang kami tangkap @ tangkul ini halal dimakan –sudah tentu halal dijual- dan menjadi sumber pendapatan kami di sini. Sebenarnya kedua-dua jenis ketam ini dari keluarga Krustasia Decapod yang bernafas menggunakan paru-paru dan ianya bukan dikira hidup dua alam dan halal dimakan.

Sudah lama saya tidak menikmati kelazatan ketam yang berisi penuh dan merah. Ketam Nipah ini, adik saya yang kebetulan pulang bercuti membelinya dari seorang teman lama saya (Ali dan sedang meningkat naik menjadi penternak ikan air masin, udang dan ketam yang berjaya) dengan harga RM15 sekilo. Adik saya membeli 2 kilo. Seekor daripadanya betina dan mempunyai banyak telur. Adik saya menelefon saya ketika saya berada di sekolah dan menjemput saya singgah di rumah untuk menikmati gulai ketam dengan nenas ranum. Mencecer air liur saya membayangkannya. Saya berjanji akan pulang ke kampung petang selepas menjemput isteri di Butterworth dan singgah mengambil anak di rumah pengasuh.


Dalam perjalanan pulang ke kampung, saya mengimbas kembali kenangan lampau. Saya seorang penangkul (baca:penangkap) ketam. Saya bergelumang dengan selut paya bakau, hutan nipah, sungai air masin sejak belum bersekolah sehinggalah bila saya menjejaki kaki ke asrama SMKA al-Mashoor (L) di tingkatan 4. Pantang cuti sekolah, sama ada cuti mingguan atau penggal –juga cuti sendiri-, saya akan turun ke hutan bakau dan sungai air masin yang berada di hujung dan pinggir kampung.

Dengan membimbit, terkadang menjinjing tangkul buluh (sudah pupus), 10 biji di tangan kanan dan 10 biji lagi di tangan kiri, bersama-sama dengan teman sekampung dan terkadang ditemani oleh adik, kami keluar awal pagi di rumah. Kami bawa bersama umpan untuk diletakkan pada tangkul iaitu ikan ketuka –spesis pari dan lebih kecil dari pari- atau ikan duri yang telah di potong. Menunggu air pasang, tangkul kami lempar di parit-parit yang mengelilingi kolam udang harimau milik penternak cina. Bila air mula pasang, kami angkat tangkul dan mengutip hasilnya (ketam) jika ada dan mengubah tangkul ke alor-alor sungai. Bila air semakin dalam, kami angkat lagi tangkul dan pindahkan lagi ke anak-anak alor. Air pasang menuju kemuncaknya, sekali lagi kami angkat –ianya kali terakhir- kami tahan tangkul kami di darat hutan bakau, di tempat-tempat strategik dan menjadi laluan ketam.


Ketika mengangkat tangkul dan mengutip ketam, kami bawa bersama kami penjauk atau guni, guna untuk mengisi ketam. Penjauk atau guni awal-awal lagi kami isikan dengan dengan daun bakau atau nyireh atau betut atau alang gadai dengan mematahkan hujung rantingnya. Daun-daun ini berfungsi menghalang ketam-ketam yang kami masukkan ke dalam guni atau penjauk daripada berkelahi yang boleh menyebabkan ketam-ketam tersebut tercedera, patah sepit yang akhirnnya boleh merugikan kami.

Penjauk atau guni yang berisi ketam kami bawa ke gumuk atau daratan tinggi yang tidak dinaiki air, kami keluarkan seekor demi seekor ketam untuk diikat. Mengikat ketam ada seninya tersendiri. Harus berhati-hati supaya tidak disepit oleh ketam terutama ketam betina yang mempunyi gigi di sepit yang sangat tajam. Gigi di sepit ketam jantan (semakin tua ketam jantan itu, semakin tumpul gigi sepitnya) lebih tumpul dari ketam betina dan ketam betina mampu memutuskan jaring perangkap ketam.

Ketam dikeluarkan dan diletak di kaki. Hujung kaki digunakan untuk memijak ketam dengan lembut tetapi kemas dan kuat. Tali pengikat ketam dibawa dari rumah. Tali pengikat ketam yang paling baik diambil dari upih pinang yang liat atau dari pelepah pokok pisang. Bukan semua pokok pisang pelepahnya boleh dibuat tali pengikat ketam kerana ada yang rapuh dan mudah terputus. Pelepah pisang nangka dan awak menjadi pilihan kami terutama awak legor dan awak padang yang terbukti sangat liat. Kelebihan pengikat tali pisang ini juga boleh menambahkan berat timbangan kerana tali dari pelepah pisang dapat menyerap air dan kelembapannya tahan lama.

Ketam telah berada di hujung jari kaki, tali pengikat yang panjangnya lebih kurang sedepa diletakkan di bawah badan ketam –sama panjang sisi tali- lalu ditarik naik ke atas penyepit melalui celah sepit (kedua-dua belah tangan perlu bergerak serentak) dan tali melingkari atas penyepit lalu ditarik semula ke bawah dan diulang lagi sehingga kedua-dua belah penyepit dibalut kemas dengan tali pengikat. Baki dua sisi tali tadi dibawa ke belakang ketam dan diikat keduanya dengan ikatan buka sila. Siaplah ketam terikat.


Tentang mengikat ketam ini ada pepatah yang terkenal di kalangan penangkul ketam: ”sesiapa yang belum pernah disepit ketam ketika mengikat ketam, dia masih belum menjadi pakar dan penangkul sejati”. Saya? Terlalu banyak kali disepit ketam. Sama ada saya memang pakar penangkul ketam atau saya gopoh dan tidak berhati-hati semasa mengikat ketam, saya pun tak pasti. Apa pun, yang saya pasti saya masih boleh mengenali ketam jantan dan betina dengan melihatnya bentuknya sahaja, melihat sama ada seekor ketam betina ada telur atau tidak dengan melihat durinya dan seekor ketam isinya penuh atau kurang dengan menekan di sebelah bawah dan hujung kulitnya. Dunia ketam adalah dunia saya! Dulu la...

Kadang-kadang saya pinjam perahu orang kampung (Abg Kob/Yaakob). Ayah saya ada perahu, tapi dia tidak membenarkan saya menggunakan perahunya walau pun dia tidak turun ke sungai. Alasannya mudah. Merbahaya. Selalunya saya mengajak seorang kawan sebaya untuk sama-sama turun ke sungai dengan perahu, menangkul ketam dan kami membawa tangkul masing-masing.

Dengan arus sungai yang deras dan dalam, perahu yang kecil, sudah pasti keadaan ini berbahaya bagi kami yang masih kecil dan kanak-kanak. Walau pun tidak setanding bahaya penangkap ketam seperti dalam ”Deadliest Catch” di channel Discovery, kisah penangkap ketam di Laut Bering, air pasang besar/dalam di Sungai Terus yang mengalir dari muara Sungai Merbok yang memisahkan antara Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai tetap memberikan cabaran yang hebat dan berbahaya. Hari ini kalau saya ada anak lelaki sebaya saya ketika itu, saya sekali-kali tidak akan membenarkan ia turun ke sungai seperti saya. Tetapi sungai dan ketam adalah sumber duit poket saya untuk bersekolah dan membeli apa sahaja barang yang saya kehendaki, terutamanya buku. Saya masih ingat lirik lagu yang kami nyanyikan ketika mendayung perahu sama ada perahu kami menyonsong atau menongkah arus deras sungai:

”Kami penangkul...penangkul,
Hidup di sungai,
Bekerjasama penuh bersemangat
Tangkulan kami untukmu rakyat,
Kamilah penangkul,
Sungailah harapan”.
Lirik ini sebenarnya kami ubahsuai dari lagu ”Nelayan”.

Ketam yang saya dapat, dijual kepada peraih yang datang ke rumah atau di tempat yang ditetapkan. Harganya ketika itu RM 4.50 sekilogram. Purata sehari kami dapat tangkap sekitar 5 kilogram ketam.


Erm, dari nak balik makan gulai ketam jer, melalut sampai ke sini....apa pun thanks kpd yg sudi baca sekelumit kisah hidup saya dengan ketam nih....

*Hari ni ada gangguan bekalan elektrik di sekolah. Saya tak tahu nak buat apa, pelajar2baru abis menduduki peperiksaan akhir tahun dan kertas KHB tingkatan 1A2 dah siap saya marking. Duduk dlm bilik guru terasa hawa panas, saya rasa sgt dahaga. Saya ambil laptop dan bawa ke kantin, duduk di ruangan terbuka. Segar, badan disapa angin. Saya pesan air teh o ais limau dan saya buka laptop lalu saya coret cerita di atas. Bateri laptop dah weak, saya terpaksa berhenti menulis di sini shj.

2 comments:

  1. Rupa-rupanya gulai ketam nipah ni sedap...isi banyak, manis pulak tu. Sesiapa nak makan ketam nipah free, bolehlah berkunjung ke Kg. Bukit Berangan, Ustaz Hilmi boleh belanja, bila-bila masa aje. Apapun, kene tunggu gaji masuk dulu lah.. ;)

    ReplyDelete
  2. Salam, Mama Lubna....Kg Bukit Berangan tu dimana letaknya?

    ReplyDelete