Thursday, December 17, 2009

Salam Hijrah 1431H


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Sosialisasi Kanak-Kanak

Tulisan di bawah sebenarnya merupakan comment saya untuk satu posting Mama Lubna dalam blognya semalam. Untuk lebih lanjut, lihat: www.mamalubna.blogspot.com/2009/12/bantu-mama-jemur-baju.html#comments


***************************************


Saya ingin membuat sedikit ulasan berkenaan posting ini (Bantu Mama Jemur Baju) dan posting sebelum ini (Through The Rubbish Into The Dustbin). Kedua-dua posting ini saling berkaitan iaitu peniruan kanak-kanak terhadap persekitaran dan apa yang dilihatnya serta bakal mempengaruhi kehidupannya kelak.

Dalam erti kata lain, ianya merupakan proses sosialisasi kanak-kanak untuk dunianya. Kali ini saya ingin menggunakan pendekatan atau sudut pandang sosiologi barat.
Kanak-kanak seawal usianya akan bersosialisasi dengan insan yang paling rapat dengannya. Bermula dengan ibu, bapa, datuk, nenek, bapa serta mak saudara dan seterusnya. Proses sosialisasi ini disebut sosialisasi primer.
Peter L. Berger dan Luckmann mendefinisikan sosialisasi primer sebagai sosialisasi pertama yang dijalani individu semasa kecil dengan belajar menjadi anggota masyarakat (keluarga). Sosialisasi primer berlaku waktu kanak-kanak berusia 1-5 tahun atau ketika kanak-kanak belum menjejak kaki ke sekolah. Ketika ini kanak-kanak mula mengenali anggota keluarga dan lingkungan keluarga terdekatnya. Secara bertahap dia mulai mampu membezakan dirinya dengan orang lain di sekitar keluarganya.
Dalam tahap ini, peranan mereka yang berada paling dekat dengan kanak-kanak menjadi sangat penting kerana seorang kanak-kanak itu melakukan pola interaksi secara terbatas di dalamnya. Warna keperibadian kanak-kanak akan ditentukan oleh warna keperibadian dan interaksi yang terjadi di antara kanak-kanak dengan anggota keluarga terdekatnya. Dalam erti kata lain, ia akan meniru sepenuhnya apa yang dilakukan oleh keluarga terdekatnya, sama ada baik atau buruk, positif atau negatif.

Manakala George Herbert Mead seorang sosiolog pendidikan pula membahagikan proses sosialisasi seorang insan itu kepada 4 tahap, iaitu:
  • Tahap persiapan (Preparatory Stage);
  • Tahap meniru (Play Stage);
  • Tahap siap bertindak (Game Stage);
  • Tahap penerimaan norma kolektif (Generalized Stage/Generalized other).

Bagi kanak-kanak, 2 tahap pertama merupakan tahap yang sangat penting dan bakal mempengaruhi 2 tahap seterusnya. 2 tahap pertama inilah yang perlu diberikan perhatian serius oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Proses peniruan akan berlangsung dengan hebatnya dalam 2 tahap ini.

1. Tahap Persiapan (Preparatory Stage)
Tahap ini dialami sejak manusia dilahirkan, tika seorang kanak-kanak mempersiapkan diri untuk mengenali dunia sosialnya, termasuk untuk memperolehi pemahaman tentang diri. Pada tahap ini juga kanak-kanak mula melakukan kegiatan meniru meski tidak sempurna.
Contoh: Kata "makan" yang diajarkan ibu kepada anaknya yang masih bayi diucapkan "mam". Makna kata tersebut juga belum difahami secara tepat oleh anaknya. Lama-kelamaan kanak-kanak akan memahami secara tepat makna kata makan tersebut dengan kenyataan yang dialaminya.


2. Tahap Meniru (Play Stage)
Tahap ini ditandai dengan semakin sempurnanya seorang kanak-kanak meniru tindakan-tindakan yang dilakukan oleh orang dewasa. Pada tahap ini mula terbentuk kesedaran tentang nama diri dan siapa nama ibu bapanya, saudaranya, dan sebagainya. Kanak-kanak mula menyedari tentang apa yang dilakukan oleh seorang ibu dan apa yang diharapkan seorang ibu dari darinya. Dengan kata lain, kemampuan untuk menempatkan diri pada posisi orang lain juga mula terbentuk pada tahap ini; kesedaran bahawa dunia sosial manusia berisikan orang yang ramai telah mula terbentuk. Sebahagian daripada orang ramai tersebut merupakan orang-orang yang dianggap penting bagi pembentukan dan pertahanan dirinya, yakni sumber kanak-kanak menyerap norma dan nilai. Bagi kanak-kanak, mereka ini disebut orang-orang yang amat bererti (Significant other). Mereka ini yang akan ditiru oleh kanak-kanak.

Oleh itu, peranan terpenting ibu bapa ialah mewujudkan suasana kondusif atau bi’ah solehah untuk proses peniruan tersebut. Adakah kita sebagai ibu bapa telah menguruskan peranan kita sebaik mungkin? Tepuk dada tanya iman kita!

Monday, December 14, 2009

Coretan Sebelum Mata Terpejam

Aku dalam dewan kuliah, sementara menunggu pensyarah datang, aku baru terperasan ada coretan di Terengganu....lalu aku postingkannya.

*************************************

Sekarang pukul 12.46 pagi. Mata belum kantuk, perut masih kekenyangan; baru lepas makan megi mee kari berapi. Sempat melawak dengan bini tadi supaya sediakan fire extinguisher dan jauhkan tisu yang kebetulan ada atas meja. Sekarang kenyang. Tadi dalam bilik, saja test manglish aku kat bini ”Honey! I’m a little hungry”. Kalut je dia nak serve kat aku; ajak aku ke dapur. Dia suggest aku makan roti gardenier cicah kari ayam tengah hari tadi, dia nak panaskan. Mulanya aku setuju, tapi bila nampak je bungkusan megi mee kari berapi dalam almari dapur, aku minta dia buatkan megi je. Senang dan cepat. Sedang dia dok masak megi, aku balun je semangkuk salad + mayonis, lebihan petang tadi.

Tadi petang, bini, anak dan mak mertua aku pergi shopping. Aku duduk kat rumah je. Malas nak shopping (paling malas nak jaga anak kalau ikut depa shopping). Bila pak mertua aku balik kerja, dia ajak aku keluar makan di luar (Bandaraya Kuala Terengganu). Sampai di sebuah gerai, pak mertua aku telefon bini, anak dan cucunya supaya joint us makan petang (merangkap makan malam) di situ. Pak mertua belanja makan ayam goreng, salad, potato wedges, roti bun dan lain-lain ala omputih. Aku bukannya biasa sangat makan benda-benda macam tu. Biasa la orang kampung, ’perut nasik’, kejap perut, senang lena.

Tapi bila baru lepas makan mana boleh tidur. Aku tak biasa tidur sejurus lepas makan. Otakku terpaksa bergerak juga mencari idea apa yang boleh aku lakukan sekarang. Terbit juga cadangan menyambung pembacaan buku ”Pengantar Sains Politik” susunan Syed Ahmad Hussein yang baru aku mula baca pagi tadi, tapi bukunya di luar bilik. Aku malas nak membuka lampu mencari buku tersebut, takut menganggu pak mertuaku yang sekian lama menjadikan ruang tamu tempat beradunya.

Di sebelah, atas katil, bini aku sedang menekuni laptop kecilnya. Lubna anak kecilku sedang tidur dengan sedikit ternganga mulutnya, tanda nyenyak la tu. Tak sejuk ke Lubna ni, aku sempat menjeling ke arah pendingin hawa. Aku naikkan suhunya dari 20°c ke 24°c. Aku sendiri kesejukan. Tapi Lubna aku tak boleh menyelimutnya dengan kain gebar. Dia tak suka dan aku takut dia terjaga nanti. Dia mungkin ikut fe’el aku dulu-dulu. Aku sejak kecil hingga besar pun tak suka dengan selimut. Aku jarang sangat tidur menggunakan selimut, maklumlah rumah aku dulu tak sejuk macam ni. Aku tarik kain gebar, bersandar ke dinding katil. Aku memang kesejukan. Aku pun buka laptop dan aku tekan punat-punat keyboard ni. Inilah hasilnya sebelum mata terpejam.

Thursday, December 3, 2009

Bebaskan Masyarakat Dari Sekolah!

Sudah dua minggu cuti persekolahan. Saya baru bercuti empat hari (sempat balik beraya ke Terengganu) dan esok sehari lagi saya bercuti sebelum menduduki peperiksaan lusanya (Sabtu). Hari Khamis terakhir persekolahan, Jumaat pun bermula Kursus Pengajian Dalam Cuti (KPDC) Diploma Pendidikan Lepas Ijazah (DPLI) di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengikut jadual akan berakhir pada 30 Disember 2009 (tidak termasuk praktikum dan BIG). Atas dasar ihsan –bukan royalti semestinya- pihak pengurusan UUM memberi peluang untuk membawa anak isteri menikmati cuti hujung tahun 2009, jadual kami dipinda. Tarikh Bina Insan Guru ditunda ke bulan Mac 2010 maka kami mendapat enam hari lagi ’cuti berganti’.

Dua subjek kali ini tidaklah membebankan sangat. SGDK4054 Kaedah Mengajar Pendidikan Islam diajar oleh Us. Mohd Radzi b. Lebai Man pensyarah jemputan UUM dan sepenuh masa di IPG Jitra. Satu lagi subjek SGDG4032 Sekolah dan Masyarakat diajar oleh Dr. Yaakub b. Daud. Belajar sambil ’enjoy’ tanpa tekanan, secara dua hala dengan banyak perbincangan dan pembentangan mengurangkan ’stress’, berbeza dengan subjek-subjek yang lepas. Di antara dua subjek kali ini, subjek Sekolah dan Masyarakat lebih santai dan bersahaja pembelajarannya.
.....................................................



Subjek ”Sekolah dan Masyarakat” adalah sub dari Sosiologi Pendidikan. Menyebut tentang ”Sekolah dan Masyarakat”, saya teringat sebuah buku yang agak kritis dan kritikal serta kekirian dengan judul ”Deschooling Society” karya Ivan Illich. Sebagai seorang sosiolog, Illich cuba melontarkan pandangan yang agak kritikal, radikal dan kontroversial dengan menyeru agar masyarakat dibebaskan dari belenggu persekolahan. Ideanya membebaskan dari kecenderungan masyarakat yang menganggap bahawa sekolah hanyalah satu-satunya institusi pendidikan dan sumber pengetahuan ilmu. Baginya, untuk membantu anak didik memiliki kesedaran akan sebuah realiti, maka institusi sekolah perlu memberikan pengajaran yang berbasiskan kehidupan sebenar, bukan jauh dari realiti atau anti-realiti.

”Masyarakat bebas sekolah” atau masyarakat tanpa sekolah mungkin satu idea yang agak keterlaluan. Namun tidak salah untuk membaca dan memahaminya. Saya juga cuba mengenengahkan idea ini ketika membentangkan topik ini di dewan kuliah. Memang tidak dapat dinafikan sistem pendidikan hari ini lebih berorientasikan tekstual daripada kontekstual, eksklusif daripada inklusif dan ‘ tidak mesra masyarakat’.

Bagi Illich, sekolah sudah melembaga dalam masyarakat moden sehingga kita kebingungan untuk membezakan makna ‘bersekolah’ dengan ‘belajar’. Hari ini ada yang pergi ke sekolah tanpa belajar dan ada pula mereka yang belajar tanpa pergi ke sekolah. Sebenarnya definisi tentang ‘bersekolah’ itu telah mengacau konsep ‘belajar’ dan ‘mengajar’, naik kelas dengan pendidikan, ijazah dengan kompetensi dan peningkatan kemampuan untuk mengatakan sesuatu yang baru.

Idea ini mungkin agak radikal dan konroversial. Seperti yang saya katakan di dalam dewan kuliah ‘tidak salah untuk berbeza dan tidak perlu janggal untuk mengusung idea yang radikal’. Secara dasar, saya bersetuju dengan sebahagian besar idea membebaskan masyarakat dari sekolah. Radikal ke idea ini?