Sunday, November 22, 2009

Puasa Sunat Hari Arafah

Majlis al-Quda’ al-A’ala Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1430 H jatuh pada Jumaat bersamaan 27 November 2009 M. Pengumuman tersebut meliputi tarikh wukuf, 9 Zulhijjah 1430 H di Arafah pada 26 November 2009 ( Khamis ) dan Hari Raya IdilAdha akan di sambut di Mekah pada 27 November 2009 (Jumaat ).

Dalam yang sama Malaysia menerusi pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1430 H juga jatuh pada 27 November 2009 M. Ini bermaksud tarikh 9 Zulhijjah 1430 jatuh pada 26 November 2009 M ( Khamis ) dan Hari Raya Idil Adha akan di sambut di Malaysia pada 27 November 2009 M ( Jumaat ).

Berkenaan tarikh wukuf di Arafah pada hari Khamis ini, kita yang tidak menunai ibadah haji disunatkan supaya berpuasa sunat Hari Arafah. Sunnah berpuasa pada hari ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang panjang dari Abi Qatadah RA:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ
"...Puasa Hari Arafah memadai dengannya Allah SWT mengampunkan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya..." (Riwayat Muslim)


Manakala mereka yang sedang menunaikan haji dan sedang berwukuf di Arafah tidak dibenarkan berpuasa berdasarkan sabda Nabi SAW:

عَنْ مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا قَالَتْ إِنَّ النَّاسَ شَكُّوا فِي صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ مَيْمُونَةُ بِحِلَابِ اللَّبَنِ وَهُوَ وَاقِفٌ فِي الْمَوْقِفِ فَشَرِبَ مِنْهُ وَالنَّاسُ يَنْظُرُونَ إِلَيْهِ

"Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya" (Riwayat Muslim).


Marilah sama-sama kita berpuasa sunat Hari Arafah pada hari Khamis ini (26 Disember 2009) kerana ganjaran besar ditawarkan oleh Allah SWT kepada mereka yang berpuasa pada hari tersebut, iaitu penghapusan 2 tahun dosa; setahun dosa yang lalu dan setahun lagi dosa yang akan datang.

No comments:

Post a Comment