Thursday, December 17, 2009

Sosialisasi Kanak-Kanak

Tulisan di bawah sebenarnya merupakan comment saya untuk satu posting Mama Lubna dalam blognya semalam. Untuk lebih lanjut, lihat: www.mamalubna.blogspot.com/2009/12/bantu-mama-jemur-baju.html#comments


***************************************


Saya ingin membuat sedikit ulasan berkenaan posting ini (Bantu Mama Jemur Baju) dan posting sebelum ini (Through The Rubbish Into The Dustbin). Kedua-dua posting ini saling berkaitan iaitu peniruan kanak-kanak terhadap persekitaran dan apa yang dilihatnya serta bakal mempengaruhi kehidupannya kelak.

Dalam erti kata lain, ianya merupakan proses sosialisasi kanak-kanak untuk dunianya. Kali ini saya ingin menggunakan pendekatan atau sudut pandang sosiologi barat.
Kanak-kanak seawal usianya akan bersosialisasi dengan insan yang paling rapat dengannya. Bermula dengan ibu, bapa, datuk, nenek, bapa serta mak saudara dan seterusnya. Proses sosialisasi ini disebut sosialisasi primer.
Peter L. Berger dan Luckmann mendefinisikan sosialisasi primer sebagai sosialisasi pertama yang dijalani individu semasa kecil dengan belajar menjadi anggota masyarakat (keluarga). Sosialisasi primer berlaku waktu kanak-kanak berusia 1-5 tahun atau ketika kanak-kanak belum menjejak kaki ke sekolah. Ketika ini kanak-kanak mula mengenali anggota keluarga dan lingkungan keluarga terdekatnya. Secara bertahap dia mulai mampu membezakan dirinya dengan orang lain di sekitar keluarganya.
Dalam tahap ini, peranan mereka yang berada paling dekat dengan kanak-kanak menjadi sangat penting kerana seorang kanak-kanak itu melakukan pola interaksi secara terbatas di dalamnya. Warna keperibadian kanak-kanak akan ditentukan oleh warna keperibadian dan interaksi yang terjadi di antara kanak-kanak dengan anggota keluarga terdekatnya. Dalam erti kata lain, ia akan meniru sepenuhnya apa yang dilakukan oleh keluarga terdekatnya, sama ada baik atau buruk, positif atau negatif.

Manakala George Herbert Mead seorang sosiolog pendidikan pula membahagikan proses sosialisasi seorang insan itu kepada 4 tahap, iaitu:
  • Tahap persiapan (Preparatory Stage);
  • Tahap meniru (Play Stage);
  • Tahap siap bertindak (Game Stage);
  • Tahap penerimaan norma kolektif (Generalized Stage/Generalized other).

Bagi kanak-kanak, 2 tahap pertama merupakan tahap yang sangat penting dan bakal mempengaruhi 2 tahap seterusnya. 2 tahap pertama inilah yang perlu diberikan perhatian serius oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Proses peniruan akan berlangsung dengan hebatnya dalam 2 tahap ini.

1. Tahap Persiapan (Preparatory Stage)
Tahap ini dialami sejak manusia dilahirkan, tika seorang kanak-kanak mempersiapkan diri untuk mengenali dunia sosialnya, termasuk untuk memperolehi pemahaman tentang diri. Pada tahap ini juga kanak-kanak mula melakukan kegiatan meniru meski tidak sempurna.
Contoh: Kata "makan" yang diajarkan ibu kepada anaknya yang masih bayi diucapkan "mam". Makna kata tersebut juga belum difahami secara tepat oleh anaknya. Lama-kelamaan kanak-kanak akan memahami secara tepat makna kata makan tersebut dengan kenyataan yang dialaminya.


2. Tahap Meniru (Play Stage)
Tahap ini ditandai dengan semakin sempurnanya seorang kanak-kanak meniru tindakan-tindakan yang dilakukan oleh orang dewasa. Pada tahap ini mula terbentuk kesedaran tentang nama diri dan siapa nama ibu bapanya, saudaranya, dan sebagainya. Kanak-kanak mula menyedari tentang apa yang dilakukan oleh seorang ibu dan apa yang diharapkan seorang ibu dari darinya. Dengan kata lain, kemampuan untuk menempatkan diri pada posisi orang lain juga mula terbentuk pada tahap ini; kesedaran bahawa dunia sosial manusia berisikan orang yang ramai telah mula terbentuk. Sebahagian daripada orang ramai tersebut merupakan orang-orang yang dianggap penting bagi pembentukan dan pertahanan dirinya, yakni sumber kanak-kanak menyerap norma dan nilai. Bagi kanak-kanak, mereka ini disebut orang-orang yang amat bererti (Significant other). Mereka ini yang akan ditiru oleh kanak-kanak.

Oleh itu, peranan terpenting ibu bapa ialah mewujudkan suasana kondusif atau bi’ah solehah untuk proses peniruan tersebut. Adakah kita sebagai ibu bapa telah menguruskan peranan kita sebaik mungkin? Tepuk dada tanya iman kita!

No comments:

Post a Comment