Thursday, December 3, 2009

Bebaskan Masyarakat Dari Sekolah!

Sudah dua minggu cuti persekolahan. Saya baru bercuti empat hari (sempat balik beraya ke Terengganu) dan esok sehari lagi saya bercuti sebelum menduduki peperiksaan lusanya (Sabtu). Hari Khamis terakhir persekolahan, Jumaat pun bermula Kursus Pengajian Dalam Cuti (KPDC) Diploma Pendidikan Lepas Ijazah (DPLI) di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengikut jadual akan berakhir pada 30 Disember 2009 (tidak termasuk praktikum dan BIG). Atas dasar ihsan –bukan royalti semestinya- pihak pengurusan UUM memberi peluang untuk membawa anak isteri menikmati cuti hujung tahun 2009, jadual kami dipinda. Tarikh Bina Insan Guru ditunda ke bulan Mac 2010 maka kami mendapat enam hari lagi ’cuti berganti’.

Dua subjek kali ini tidaklah membebankan sangat. SGDK4054 Kaedah Mengajar Pendidikan Islam diajar oleh Us. Mohd Radzi b. Lebai Man pensyarah jemputan UUM dan sepenuh masa di IPG Jitra. Satu lagi subjek SGDG4032 Sekolah dan Masyarakat diajar oleh Dr. Yaakub b. Daud. Belajar sambil ’enjoy’ tanpa tekanan, secara dua hala dengan banyak perbincangan dan pembentangan mengurangkan ’stress’, berbeza dengan subjek-subjek yang lepas. Di antara dua subjek kali ini, subjek Sekolah dan Masyarakat lebih santai dan bersahaja pembelajarannya.
.....................................................



Subjek ”Sekolah dan Masyarakat” adalah sub dari Sosiologi Pendidikan. Menyebut tentang ”Sekolah dan Masyarakat”, saya teringat sebuah buku yang agak kritis dan kritikal serta kekirian dengan judul ”Deschooling Society” karya Ivan Illich. Sebagai seorang sosiolog, Illich cuba melontarkan pandangan yang agak kritikal, radikal dan kontroversial dengan menyeru agar masyarakat dibebaskan dari belenggu persekolahan. Ideanya membebaskan dari kecenderungan masyarakat yang menganggap bahawa sekolah hanyalah satu-satunya institusi pendidikan dan sumber pengetahuan ilmu. Baginya, untuk membantu anak didik memiliki kesedaran akan sebuah realiti, maka institusi sekolah perlu memberikan pengajaran yang berbasiskan kehidupan sebenar, bukan jauh dari realiti atau anti-realiti.

”Masyarakat bebas sekolah” atau masyarakat tanpa sekolah mungkin satu idea yang agak keterlaluan. Namun tidak salah untuk membaca dan memahaminya. Saya juga cuba mengenengahkan idea ini ketika membentangkan topik ini di dewan kuliah. Memang tidak dapat dinafikan sistem pendidikan hari ini lebih berorientasikan tekstual daripada kontekstual, eksklusif daripada inklusif dan ‘ tidak mesra masyarakat’.

Bagi Illich, sekolah sudah melembaga dalam masyarakat moden sehingga kita kebingungan untuk membezakan makna ‘bersekolah’ dengan ‘belajar’. Hari ini ada yang pergi ke sekolah tanpa belajar dan ada pula mereka yang belajar tanpa pergi ke sekolah. Sebenarnya definisi tentang ‘bersekolah’ itu telah mengacau konsep ‘belajar’ dan ‘mengajar’, naik kelas dengan pendidikan, ijazah dengan kompetensi dan peningkatan kemampuan untuk mengatakan sesuatu yang baru.

Idea ini mungkin agak radikal dan konroversial. Seperti yang saya katakan di dalam dewan kuliah ‘tidak salah untuk berbeza dan tidak perlu janggal untuk mengusung idea yang radikal’. Secara dasar, saya bersetuju dengan sebahagian besar idea membebaskan masyarakat dari sekolah. Radikal ke idea ini?

1 comment:

  1. Suatu perkara yang tak pernah terlintas di benak fikiran saya sebelum ini. Bagus untuk fikir dan zikir

    ReplyDelete