Friday, January 8, 2010

Membakar Gereja Bukan Dari Islam

Beberapa buah gereja di Lembah Kelang dibakar. Adakah ianya merupakan re-aksi kepada isu penggunaan nama “Allah” yang hangat kini sebagai tanda protes? Atau ada tangan-tangan ghaib yang merencanakan sedemikian demi survival dan keuntungan politik jangka pendek? Apa pun saya tidak ingin menyorot persoalan tersebut. Saya hanya ingin menjelaskan salah satu dasar Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW iaitu: Islam adalah Agama rahmat untuk seluruh alam.
Allah SWT menjelaskan kerahmatan Islam di dalam surah al-Anbiya’: 107:

"Tidaklah Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan
menjadi rahmat kepada seluruh alam."

Memusnah atau merosakkan tempat ibadah apa jua agama dan kepercayaan adalah dilarang oleh Islam hatta ketika peperangan berlangsung sekalipun. Nama Islam sendiri merujuk kepada kesejateraan atau keselamatan. Islam berlepas diri dari tindakan yang seperti ini. Hatta dalam peperangan sekali pun, al-Quran menyatakan bahawa tujuan peperangan yang berlaku dalam ajaran Islam ialah untuk membela keadilan untuk seluruh makhluk, yang antara kebaikannya menyelamatkan tempat-tempat ibadah manusia. Allah menjelaskan dalam al-Quran:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَہُم بِبَعۡضٍ۬ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٲمِعُ وَبِيَعٌ۬ وَصَلَوَٲتٌ۬ وَمَسَـٰجِدُ يُذۡڪَرُ فِيہَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ ڪَثِيرً۬“
"…dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya…”.


Namun begitu, barang diingat kejadian membakar gereja di Lembah Kelang tidak wajar sama sekali dikaitkan dengan Islam. Kemungkinan-kemungkinan lain patut juga dipertimbangkan. Sama ada ianya perlakuan orang Islam ekstrem yang memberi reaksi demi mempertahankan maruah Agamanya –menurut kefahamannya yang tersasar-, atau tindakan jahat pihak yang ingin mendapatkan keuntungan politik, ataupun tindakan yang disengajakan oleh pihak gereja sebagai cetusan provokasi. Perkara pokok di sini, Islam tidak mengajar umatnya membakar gereja.

1 comment:

  1. Tak faham knp ada org yg selalu kaitkan Islam dgn sesuatu yang 'dahsyat'. Smg kita dapat memperbetulkan tanggapan negative t'hadap Islam.

    ReplyDelete