Sudah menjadi tradisi di Maktab Mahmud Kuala Muda –dulu SAR Tarbiah an-Nashiin-, selesai sahaja peperiksaan akhir tahun, di kesibukan guru-guru memeriksa/menanda kertas peperiksaan, kelas-kelas pula berlumba-lumba mengadakan jamuan akhir tahun. Masing-masing sibuk. Pelajar-pelajar sibuk membuat persiapan dan menyediakan jamuan. Guru-guru sibuk memenuhi undangan. Mengah kekenyangan. Alhamdulillah syukur!
Sunday, November 15, 2009
Untung Jadi Guru
Sudah menjadi tradisi di Maktab Mahmud Kuala Muda –dulu SAR Tarbiah an-Nashiin-, selesai sahaja peperiksaan akhir tahun, di kesibukan guru-guru memeriksa/menanda kertas peperiksaan, kelas-kelas pula berlumba-lumba mengadakan jamuan akhir tahun. Masing-masing sibuk. Pelajar-pelajar sibuk membuat persiapan dan menyediakan jamuan. Guru-guru sibuk memenuhi undangan. Mengah kekenyangan. Alhamdulillah syukur!
Thursday, November 12, 2009
Pengantar Tafsir Tematik (Siri 1)
Ilmu tafsir sudah wujud sejak zaman awal Islam ketika al-Quran/wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Tipologi atau pembahagian tafsir berkembang dengan pesat dari masa ke semasa sesuai dengan tuntutan dan konteks. Dasar tipologi terhadap tafsir pun berbeza-beza. Di antara pembahagian tafsir secara umum dan sudah dikenali sejak masa Nabi Muhammad SAW adalah tafsir bi al-atsar -banyak yang menyebut tafsir bi al-ma’thur atau tafsir riwayah-. Pembahagian ini disebut sebagai corak tafsir. Corak tafsir lain yang berkembang adalah tafsir bi al-ra’y.Tafsir bi al-ma’thur adalah tafsir yang menggunakan nas dalam menafsirkan, baik al-Quran dengan al-Quran mahu pun al-Quran dengan sunnah. Dengan kata mudah, tafsir bi al-ma’tsur adalah tafsir antara nas (inter-text). Sementara tafsir bi al-ra’y atau dikenali juga dengan tafsir dirayah; tafsir yang lebih menumpukan pada ijtihad yang sahih.
Namun ada juga tafsir isyari dan tafsir janggal (gharaib al-tafsir). Tafsir isyari adalah penafsiran al-Quran yang berlainan dengan zahir ayat karena ada petunjuk yang tersirat hanya diketahui oleh sebahagian ulama atau orang-orang tertentu. Tafsir janggal adalah tafsir yang tidak sejalan dengan tafsir pada umumnya. Kedua tafsir ini tidak diterima oleh umum ulama, hanya orang-orang tertentu yang menerimanya.
Dari tafsir bi al-ma’thur dan bi al-ra’y telah muncul method atau corak penafsiran baru yang menjadi pilihan para mufassir atau ulama yang ingin menafsirkan al-Quran mutakhir kini iaitu tafsir tematik (juga disebut tafsir maudhu'i). Penulisan ”Pengantar Tafsir Tematik” inilah yang dimaksudkan dalam perbahasan dan akan menjadi fokus utama perbincangan ini.

Pembahagian Tafsir:
Tafsir melalui bentuk penulisannya dibahagikan kepada empat bahagian:
1. Tafsir analisa; iaitu penafsir menelusuri setiap ayat dengan menganalisis secara luas dan mendalam; dengan membentangkan pelbagai tajuk, perbahasan dan permasalahan; baik yang berkaitan akidah, nahu, balaghah, qiraat, hukum-hakam dan sebagainya. Perbahasan di dalam tafsir bentuk ini berbeza antara satu kitab dengan kitab yang lain berdasarkan panjang dan pendek; ada di antaranya berkadar sederhana; ada di antaranya yang sangat panjang.
2. Tafsir Global; iaitu penafsir menerangkan maksud ayat secara global/umum tanpa memperluas atau memperdalam huraiannya; tanpa membentangkan perbahasan yang detail dalam aspek akidah atau bahasa atau fekah. Di antara contoh tafsir bentuk ini: “Taysir al-Kariem ar-Rahmaan fi Tafsir Kalam al-Mannan” oleh Syeikh Abd. Rahman as-Sa’di, “Tafsir al-Manar” oleh Muhammad Rasyid Redha dan “Aysir at-Tafaasir”oleh Abu Bakar al-Jazaairi.
3. Tafsir al-Muqaran; iaitu penafsir melakukan komperatif (perbandingan) di antara sekumpulan ahli tafsir yang berbeza pada manhaj mereka; dengan cara menghimpun penafsiran mereka pada sejumlah ayat atau surah yang pendek untuk mengetahui manhaj setiap dari mereka dan cara-cara mereka menyusun tema; dengan membandingkan manhaj antara setiap mereka; dengan menerangkan bentuk-bentuk perbezaan yang terdapat di antara mereka. Penulis tafsir yang berbentuk ini menjelaskan pendapat-pendapat ahli tafsir dan bentuk-bentuk persamaan dan perbezaan antara mereka; menjelaskan kepada kita pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan mereka sejauh mana berkait antara satu sama lain atau berbeza.

4. Tafsir tematik; merupakan topik perbahasan kita dan insyaAllah akan dilanjutkan perbincangannya selepas ini. (bersambung...)
Wednesday, November 11, 2009
Menyebar Maklumat Bohong Ke Neraka

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan Jabatan IT PAS Pusat. Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua peringkat kepada Islam.
Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai. Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah itu ke dalam hati manusia. Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal dunia.
Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai. Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam. Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.
Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan kejahatan di muka bumi Allah SWT. Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal dengan akhlaq dan adab-adab Islam.
Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar. Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.
Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita. Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan yang paling mahal harganya”.
Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat".
Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk, maka dia berdosa kerana melakukan kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat. Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar. Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.
Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran. Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa. Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia. Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.
Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita. Imam Nawawi menyebut satu hadith di mana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.
Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah. Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.
Di sini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain. Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas. Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara kita.
Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil dan lalai. Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan membawa kepada perubahan pemikiran.
Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat . Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan.
Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone. Itu hanyalah segelintir. Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik dalam negara.
Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar. Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.
Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk parti BN yg memerintah. Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.
Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak seimbang.
Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda. Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu daripada kekuatan”.
Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita.
Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.
Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari. Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada dalam hati sanubari kita. Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS. Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar. Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.
Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia” Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan. Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman masyarakat terhadap kita lebih penting.
Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan. Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang tersirat kurnia daripada Allah SWT. Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini. Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara dan lebih luas dan moden.
Di sini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh melihat yang lama sahaja. Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini. Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat bermakna kepada kita. Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.
Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada Allah”. Kita rasmikan majlis ini.
Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt
Tuesday, November 10, 2009
Terlebih Lajak Dari Laju
Pelbagai isu sedang menimpa PAS kini. Bagi saya, ia merupakan sesuatu yang lumrah dan merupakan proses biasa menuju kematangan berpolitik dan berjemaah. Terserah kepada pucuk pimpinan dan ahli bagi menanggapi dan menangani isu tersebut. Isu yang dipandang negatif sebenarnya boleh ‘turning over’ menjadi positif kalau kena caranya. Semakin banyak ujian menimpa, semakin matang dan mantap PAS kalau diuruskan dengan benar dan tepat. Permata yang telah menjalani proses uji-bakar dengan lama pasti bermutu dan berharga tinggi.Saya tertarik dengan isu terkini iaitu isu bai’ah PAS. Bai'ah merupakan perjanjian untuk memberi ketaatan dan bersama dalam perjuangan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan diri dan urusannya kepada ketua, pemimpin atau perjuangannya. Ianya merupakan perbuatan sunnah Nabi SAW. Nabi SAW dan para sahabatnya pernah berbai’ah antaranya dalam Bai’ah al-Aqabah pertama dan kedua, bai’ah dalam perang Badar, Bai’ah ar-Ridwan di bawah pokok dan lain-lain bai’ah.
Bai’ah tidak salah. Bai’ah bertujuan untuk mentaati dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ubadah bin Shamit meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW mengambil sumpah setia kami pada malam pertama di ‘Aqabah, bahawasanya kami tidak akan mempersekutukan Allah dengan apa pun juga, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan berdusta, melindungi apa saja yang ada di depan atau di belakang kami dan tidak membantah perintah baginda dalam hal kebajikan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Bai’ah juga perjanjian dan taat setia untuk bersama-sama dalam perjuangan, tidak lari dan meninggalkan amanah perjuangan. Sahabat-sahabat pernah berbai’ah untuk bersama Rasulullah SAW dalam perang Badar: Sa’ad bin Muaz berkata: “Demi Allah, kamu seolah-olah hendakkan kami wahai Utusan Allah.” Nabi SAW menjawab: “Benar.” Berkata Sa’ad: “Seseungguhnya kami telah beriman dan membenarkan kamu, kami telah menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar belaka, dan kami menyatakan janji dan taat setia kami kepadamu, maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki, kami akan bersamamu, dan demi Yang Mengutuskan kamu (Allah) dengan kebenaran, jika engkau membentangkan kepada kami lautan ini dan engkau menyeberanginya nescaya kami juga akan mengharunginya bersama kamu.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah).
Kembali persoalan di atas. Apa salahnya dengan bai’ah PAS? Menjadi isu bila di’katakan’ arahan pimpinan atasan PAS supaya pemimpim-pemimpin, bakal-bakal calon PAS dalam pilihanraya supaya berbai’ah dengan parti atas kesetiaan mereka dengan mentalak isteri dengan 3 talak jika memungkiri bai’ah. Ramailah ilmuwan Islam –ilmuwan semulajadi dan ilmuwan jadisendiri- melatah menolak bai’ah sebegini. Ungkapan mereka seperti ”membawa mudarat” ”melampau” ”bertuhankan politik” ”tidak bertamadun” ”menjatuhkan imej Islam” dikutip oleh media (jika benar kenyataan mereka seperti yang disiarkan media).
Saya sendiri secara peribadi tidak bersetuju (jika benar ini adalah bai’ah yang diarahkan oleh PAS pusat atau mana-mana pimpinan tertinggi PAS). Jika benar perkara tersebut be
rlaku, PAS dan pimpinannya perlu jujur dan kembali mengintrospeksi diri dan parti. Bai’ah dengan ’mempajakgadaikan’ isteri bukan perkara yang pernah ditunjuki Nabi, tidak ada dalam warta syariat Allah bahkan tidak molek atas ukuran adat dan budaya. Politik dan berpolitik tetap ada had dan batasannya dalam keluasan rahmat dan syariat Islam.
Namun, ini bukanlah isu yang ingin saya ketengahkan di sini. Hari ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali telah membuat penafian bahawa pernah wujud arahan dari PAS pusat terhadap bai’ah talak 3 isteri selepas di arahkan oleh Presiden parti. Penafian ini dibuat setelah beberapa ketika bai’ah PAS ’dibelasah’ oleh segelintir tokoh ilmuan yang ada sindrom ’melatah’ apabila dicuit (cuit sebelah shj).
Memang sudah menjadi trend, bila ada isu yang boleh ’dikenakan’ ke atas PAS, tanpa usul periksa dan tanpa diselidiki sudah keluar komen-komen negatif dan buruk terhadap PAS. Ringan dan lancar sahaja mulut SS Tan Sri Harussani, Prof. Datuk Mahmood Zuhdi, Datuk Noh Gadut, YB Sen. Datuk Mashitah dan lain-lain. Tanpa berkias dan berlapik.
Islam mengajar kita menyelidiki sebarang berita yang dibawa terutama dari media yang merupakan ”kalam khabari” bererti membawa berita benar dan palsu. Pentingnya menyelidiki berita ini telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:
يأيها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنباء فتبينوا…
"Wahai mereka yang beriman! Jika kamu didatangi si fasiq dengan sesuatu berita, maka hendaklah kamu periksa (asas, latarbelakang atau kebenarannya)".
Sebaiknya para ilmuan tadi belajar daripada Abu Bakar as-Siddiq RA, yang berlapik dalam memberi ulasan. Pasca peristiwa al-Israk wal Mi’raj Nabi SAW seperti yang diceritakan oleh Ibn Hisyam dalm Sirahnya. Abu Jahal dan barisan sekutunya mempunyai modal untuk mempermain-main dan memperolok-olok Nabi SAW dari peristiwa israk Nabi –yang tidak logik dan mustahil pada akal pada waktu itu-, lalu bertanya kepada Abu Bakar RA tentang pendiriannya:
...فقالوا : هذا صاحبك يقول كذا وكذا ، فقال : أوقد قال ذلك ؟ قالوا : نعم ، فقال : إن كان قال ذلك فقد صدق…
“…teman kamu (Muhammad) menceritakan sekian perkara (peristiwa israk yang tidak masuk akal oleh orang musyrikin Mekah), lalu bertanya Abu Bakar: adakah itu yang disebut oleh Muhammad? Mereka berkata: Ya! Kata Abu Bakar: jika demikianlah yang dikatakan oleh Muhammad, maka memang benarlah apa yang dikatakan olehnya...”.
Lihat bagaimana method menjawab –juga mengulas- yang boleh dipelajari dari Abu Bakar RA. Bagi Abu Bakar RA, cerita israk hanya berlaku semalaman memang sukar untuk diterima akal yang sihat lagi waras –pada zaman tersebut- lalu meminta kepastian memang Nabi SAW sendiri yang menceritakan atau ianya merupakan kelentongan Abu Jahal semata-mata. Abu Bakar RA percaya dengan sepenuh jiwa jika ianya memang keluar dari mulut Nabi SAW kerana segala peristiwa yang mustahil pada akal tidak mustahil berlaku pada Nabi SAW lantaran mukjizat yang dipunyai baginda. Abu Bakar RA berlapik dalam menjawab pertanyaan tersebut.
Sebaiknya para ilmuan di atas –dan lain-lain- tidak membuat komen atau ulasan sebelah pihak tanpa mengetahui kebenarannya. Sekurang-kurangnya berlapiklah dengan: ”Jika benar apa yang dikatakan oleh......, maka saya berpendapat.....”. Ini juga manhaj ulama hadith seperti Ibn Khuzaymah, al-Bayhaqi, Ibn Abi Syaybah, Ibn Abdil Bar, as-Suyuti yang berlapik dengan perkataan ”إن صح/ إن صح الخبر “ apabila mereka ragu-ragu tentang status sebuah hadith atau status sebuah hadith masih diperdebatkan kesahihannya.
Berhati-hatilah membuat komen atau ulasan. Jangan terlebih lajak dari laju!
Friday, November 6, 2009
Antara Tauliah Dan Warta Rokok
Kami memilih meja tengah di kawasan luar kedai untuk duduk. Selesa dan nyaman. Ketika sedang menikmati nasi di dalam pinggan, gegendang telinga saya dapat menangkap butir perbualan sekumpulan lelaki yang baru lepas makan dan sedang menghisap rokok. Perbualan mereka berkisar tentang rokok.
”Abang! jauh menung, ada apa?”. ”Takda apa lah” jawab saya sambil tersengih. ”Ada apa, bagai tau la”. ”Nanti la abang bagi tau dalam kereta”.
Selepas membayar harga makanan, saya bersama isteri menuju ke kereta dan kami bertolak pulang. Waktu zohor masuk awal sekarang, hari ni kan hari jumaat.
Dalam kereta, tanpa diminta, saya menunaikan janji di kedai makan tadi. ”Abang nak buat kajian”. Terkejut isteri saya. ”Kajian apa pulak abang?”. ”Wadah dengar tak apa yang orang di sebelah kita sembang tadi?”. ”Ntah, tak perasan pulak”.”Depa sembang tentang rokok”.
Saya terangkan kepada isteri tentang kajian yang saya maksudkan. Saya hanya rancang spontan di dalam kepala. Kajian spontan saya sebenarnya bias, tanpa objektif dan dapatan kajian pun telah diperolehi serta saya juga telah menyiapkan saranan dan cadangan yang perlu dikemukakan.
Kajian tersebut saya namakan ”Keberkesanan Penyampaian Warta Keharaman Merokok Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-37: Kajian Di Negeri Selangor”.
Di Malaysia, Persidangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.Seperti yang kita ketahui, bidangkuasa pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri-negeri, maka pewartaan sesuatu fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan adalah di bawah bidangkuasa negeri. Di samping itu, pengautkuasaan fatwa juga adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri dan tidak ada mana-mana negeri boleh dipaksa untuk menerima fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Berkaitan hukum haram merokok, Selangor antara negeri yang terawal mewartakannnya. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.
Berkaitan dengan kajian saya tersebut, antara soalan kaji selidik yang ingin saya kemukakan kepada pakcik-pakcik yang bersandar dan bersembang di koridor masjid selepas solat maghrib sambil menghisap rokok; kepada pemerhati-pemerhati politik yang berbahas di kedai-kedai kopi; kepada orang awam perseorangan serta perkumpulan di kampung dan di pekan. Antara soalan kaji selidik saya yang utama adalah:
1. Apakah hukum merokok?
a. Harus b. Makruh c. Haram
2. Adakah pakcik tahu merokok itu hukumnya haram?
a. Tahu b. Tidak pasti c. Tidak tahu
3. Pernahkan pakcik mendengar/melihat siaran/makluman/hebahan dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentang hukum merokok adalah haram?
a. Ya b. Tidak pasti c.Tidak
Bagi soalan pertama, saya yakin majoriti akan memilih (b). Soalan kedua pula kebanyakan akan memilih (c) dan bagi soalan ketiga kebanyakan akan memilih (c) serta sebahagian juga akan memilih (b).
Maka di sini saya ingin memberikan beberapa saranan dan cadangan kepada JAIS:
1.Penyampaian dan penyebaran hukum haram merokok yang telah diwartakan fatwanya oleh negeri Selangor perlu dilakukan dengan berkesan. Siaran melalui tv dan radio, hebahan melalui internet, surat khabar, teks2 khutbah jumaat dan notis2 yang ditampal di masjid/surau dan tempat2 strategik di negeri selangor.
2. JAIS perlu amanah dalam menjalankan tugas dan tidak bersikap double standard serta mengikut telunjuk pihak yang berkepentingan.
3. Jangan hanya memikirkan keuntungan duniawi dan rela berdiam diri terhadap perkara haram dan munkar demi menjaga periuk nasi.
4. Kuatkuasan terlebih dahulu tindakan terhadap perokok di kalangan pihak berkuasa agama, pegawai2 dan ustaz2 yg merokok.
PENUTUP:
Merokok hukumnya haram. Fatwa ini telah diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke -37 dan telah diwartakan oleh kebanyakan negeri di Malaysia. Selangor antara negeri yang terawal mewartakannya. Apa yang menyedihkan, hebahan mengenai fatwa ini tidak menyeluruh dan tidak ’turun ke bawah’. Adakah pihak berkuasa agama memejam sebelah mata? Atau mungkinkah kerana ada pihak-pihak yang berkepentingan yang tidak ingin melihat rokok diharamkan kerana orientasi keuntungan?
p/s: Kajian ini bukan untuk negeri Selangor sahaja, tetapi untuk kesemua negeri dalam Malaysia dan terutamanya pihak berkuasa agama negeri-negeri.Thursday, November 5, 2009
Jom Amik Tauliah...
Petang kelmarin, saya pulang ke kampung menjemput ayah untuk ke Institut al-Qayyim di Mengkuang, Bukit Mertajam Pulau Pinang untuk mendengar sendiri penjelasan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) mengenai isu semasa yang terkena sendiri ke atas dirinya. Ceramah bertajuk “Gelombang Fitnah” dijadualkan bermula pada pukul 8.00 malam di IQ.Ini kali ketiga saya sampai di IQ. Kali pertama ketika Dr. MAZA (belum Dr. lagi ketika itu) berdebat dengan Astora Jabat, kalau tak silap saya tahun 1998. Kedua, pada bulan Ramadhan tahun lepas, menyampaikan tazkirah Ramadhan di situ. Malam kelmarin merupakan kali ketiga.
Tidak ada apa yang menarik sebenarnya untuk dikongsi cerita/ceramah pada malam tersebut kerana semuanya seperti mana yang telah umum ketahui. Fitnah, hasad dengki dan kejumudan pemikiran.
Kelmarin di dalam akbar-akbar tempatan, terdapat segelintir tokoh agama dan memberikan reaksi pro terhadap isu tauliah dan justifikasi tangkapan JAIS tersebut. SS Tan Sri Harussani Zakaria, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, Uthman el-Muhammady dan lain-lain.
Jika berdasarkan hujah mereka, beberapa perkara berkenaan tauliah ni perlu diberikan perhatian:
1. Semua guru, warga pendidik dan pensyarah yg ada kaitan dengan subjek pengajian/pendidikan Islam di Selangor khusus dan seluruh Malaysia umumnya perlu mendapatkan tauliah dari jabatan2 Agama Islam Negeri sebelum mengajar di sekolah/universiti kerana mereka mengajar di premis yang terletak di negeri yang mempunyai kuasa mutlak terhadap perkara yang berkaitan dengan penyebaran dakwah dan agama Islam.
2. Pastikan tetamu jemputan untuk rancangan agama terbitan Media Prima spt al-Kuliyyah, Halaqah dan lain2 mempunyai tauliah kerana mereka membuat rakaman atau bersiaran langsung dari studio yang terletak di Shah Alam Selangor kebiasaannya dan studio tersebut merupakan premis yang terletak di dalam negeri Selangor.
Saya juga yakin tokoh2 seperti di atas telah mengambil tauliah untuk berceramah di setiap negeri dalam Malaysia kerana mereka bebas berceramah tanpa sebarang sekatan dan tidak ditangkap setakat ini.
Dalam zaman canggih dan maklumat tanpa sempadan ni pun ada lagi yang hidup dalam zaman dark ages. Pelik laa....
Apa pun tahniah sebab dalam kesibukan mengantarabangsakan jenama Malaysia, satu lagi taraf antarabangsa telah diperolehi, iaitu LAWAK ANTARABANGSA. Katun sungguh...
Wednesday, November 4, 2009
Ketam! Oh Ketam!
Kami memanggilnya Ketam Nipah, Ketam Nyok dan juga Ketam Bakau; spesis ketam yg hidup di kawasan paya bakau, berlumpur dan berair masin. Nama saintifiknya Scylla Serrata. Orang luar memanggilnya Ketam Batu, nama yang kami orang tempatan tidak menyukainya. Nama Ketam Batu ( nama saintifiknya Paralithodes) memberi konotasi yang kurang baik dan tak enak didengar –makan tetap enak- kerana Ketam Batu dikatakan hidup dua alam dan haram dimakan. Ketam yang kami tangkap @ tangkul ini halal dimakan –sudah tentu halal dijual- dan menjadi sumber pendapatan kami di sini. Sebenarnya kedua-dua jenis ketam ini dari keluarga Krustasia Decapod yang bernafas menggunakan paru-paru dan ianya bukan dikira hidup dua alam dan halal dimakan.Sudah lama saya tidak menikmati kelazatan ketam yang berisi penuh dan merah. Ketam Nipah ini, adik saya yang kebetulan pulang bercuti membelinya dari seorang teman lama saya (Ali dan sedang meningkat naik menjadi penternak ikan air masin, udang dan ketam yang berjaya) dengan harga RM15 sekilo. Adik saya membeli 2 kilo. Seekor daripadanya betina dan mempunyai banyak telur. Adik saya menelefon saya ketika saya berada di sekolah dan menjemput saya singgah di rumah untuk menikmati gulai ketam dengan nenas ranum. Mencecer air liur saya membayangkannya. Saya berjanji akan pulang ke kampung petang selepas menjemput isteri di Butterworth dan singgah mengambil anak di rumah pengasuh.
Dalam perjalanan pulang ke kampung, saya mengimbas kembali kenangan lampau. Saya seorang penangkul (baca:penangkap) ketam. Saya bergelumang dengan selut paya bakau, hutan nipah, sungai air masin sejak belum bersekolah sehinggalah bila saya menjejaki kaki ke asrama SMKA al-Mashoor (L) di tingkatan 4. Pantang cuti sekolah, sama ada cuti mingguan atau penggal –juga cuti sendiri-, saya akan turun ke hutan bakau dan sungai air masin yang berada di hujung dan pinggir kampung.
Dengan membimbit, terkadang menjinjing tangkul buluh (sudah pupus), 10 biji di tangan kanan dan 10 biji lagi di tangan kiri, bersama-sama dengan teman sekampung dan terkadang ditemani oleh adik, kami keluar awal pagi di rumah. Kami bawa bersama umpan untuk diletakkan pada tangkul iaitu ikan ketuka –spesis pari dan lebih kecil dari pari- atau ikan duri yang telah di potong. Menunggu air pasang, tangkul kami lempar di parit-parit yang mengelilingi kolam udang harimau milik penternak cina. Bila air mula pasang, kami angkat tangkul dan mengutip hasilnya (ketam) jika ada dan mengubah tangkul ke alor-alor sungai. Bila air semakin dalam, kami angkat lagi tangkul dan pindahkan lagi ke anak-anak alor. Air pasang menuju kemuncaknya, sekali lagi kami angkat –ianya kali terakhir- kami tahan tangkul kami di darat hutan bakau, di tempat-tempat strategik dan menjadi laluan ketam.
Ketika mengangkat tangkul dan mengutip ketam, kami bawa bersama kami penjauk atau guni, guna untuk mengisi ketam. Penjauk atau guni awal-awal lagi kami isikan dengan dengan daun bakau atau nyireh atau betut atau alang gadai dengan mematahkan hujung rantingnya. Daun-daun ini berfungsi menghalang ketam-ketam yang kami masukkan ke dalam guni atau penjauk daripada berkelahi yang boleh menyebabkan ketam-ketam tersebut tercedera, patah sepit yang akhirnnya boleh merugikan kami.
Penjauk atau guni yang berisi ketam kami bawa ke gumuk atau daratan tinggi yang tidak dinaiki air, kami keluarkan seekor demi seekor ketam untuk diikat. Mengikat ketam ada seninya tersendiri. Harus berhati-hati supaya tidak disepit oleh ketam terutama ketam betina yang mempunyi gigi di sepit yang sangat tajam. Gigi di sepit ketam jantan (semakin tua ketam jantan itu, semakin tumpul gigi sepitnya) lebih tumpul dari ketam betina dan ketam betina mampu memutuskan jaring perangkap ketam.
Ketam dikeluarkan dan diletak di kaki. Hujung kaki digunakan untuk memijak ketam dengan lembut tetapi kemas dan kuat. Tali pengikat ketam dibawa dari rumah. Tali pengikat ketam yang paling baik diambil dari upih pinang yang liat atau dari pelepah pokok pisang. Bukan semua pokok pisang pelepahnya boleh dibuat tali pengikat ketam kerana ada yang rapuh dan mudah terputus. Pelepah pisang nangka dan awak menjadi pilihan kami terutama awak legor dan awak padang yang terbukti sangat liat. Kelebihan pengikat tali pisang ini juga boleh menambahkan berat timbangan kerana tali dari pelepah pisang dapat menyerap air dan kelembapannya tahan lama.
Ketam telah berada di hujung jari kaki, tali pengikat yang panjangnya lebih kurang sedepa diletakkan di bawah badan ketam –sama panjang sisi tali- lalu ditarik naik ke atas penyepit melalui celah sepit (kedua-dua belah tangan perlu bergerak serentak) dan tali melingkari atas penyepit lalu ditarik semula ke bawah dan diulang lagi sehingga kedua-dua belah penyepit dibalut kemas dengan tali pengikat. Baki dua sisi tali tadi dibawa ke belakang ketam dan diikat keduanya dengan ikatan buka sila. Siaplah ketam terikat.
Tentang mengikat ketam ini ada pepatah yang terkenal di kalangan penangkul ketam: ”sesiapa yang belum pernah disepit ketam ketika mengikat ketam, dia masih belum menjadi pakar dan penangkul sejati”. Saya? Terlalu banyak kali disepit ketam. Sama ada saya memang pakar penangkul ketam atau saya gopoh dan tidak berhati-hati semasa mengikat ketam, saya pun tak pasti. Apa pun, yang saya pasti saya masih boleh mengenali ketam jantan dan betina dengan melihatnya bentuknya sahaja, melihat sama ada seekor ketam betina ada telur atau tidak dengan melihat durinya dan seekor ketam isinya penuh atau kurang dengan menekan di sebelah bawah dan hujung kulitnya. Dunia ketam adalah dunia saya! Dulu la...
Kadang-kadang saya pinjam perahu orang kampung (Abg Kob/Yaakob). Ayah saya ada perahu, tapi dia tidak membenarkan saya menggunakan perahunya walau pun dia tidak turun ke sungai. Alasannya mudah. Merbahaya. Selalunya saya mengajak seorang kawan sebaya untuk sama-sama turun ke sungai dengan perahu, menangkul ketam dan kami membawa tangkul masing-masing.
Dengan arus sungai yang deras dan dalam, perahu yang kecil, sudah pasti keadaan ini berbahaya bagi kami yang masih kecil dan kanak-kanak. Walau pun tidak setanding bahaya penangkap ketam seperti dalam ”Deadliest Catch” di channel Discovery, kisah penangkap ketam di Laut Bering, air pasang besar/dalam di Sungai Terus yang mengalir dari muara Sungai Merbok yang memisahkan antara Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai tetap memberikan cabaran yang hebat dan berbahaya. Hari ini kalau saya ada anak lelaki sebaya saya ketika itu, saya sekali-kali tidak akan membenarkan ia turun ke sungai seperti saya. Tetapi sungai dan ketam adalah sumber duit poket saya untuk bersekolah dan membeli apa sahaja barang yang saya kehendaki, terutamanya buku. Saya masih ingat lirik lagu yang kami nyanyikan ketika mendayung perahu sama ada perahu kami menyonsong atau menongkah arus deras sungai:
”Kami penangkul...penangkul,
Hidup di sungai,
Bekerjasama penuh bersemangat
Tangkulan kami untukmu rakyat,
Kamilah penangkul,
Sungailah harapan”.
Lirik ini sebenarnya kami ubahsuai dari lagu ”Nelayan”.
Ketam yang saya dapat, dijual kepada peraih yang datang ke rumah atau di tempat yang ditetapkan. Harganya ketika itu RM 4.50 sekilogram. Purata sehari kami dapat tangkap sekitar 5 kilogram ketam.
Erm, dari nak balik makan gulai ketam jer, melalut sampai ke sini....apa pun thanks kpd yg sudi baca sekelumit kisah hidup saya dengan ketam nih....
*Hari ni ada gangguan bekalan elektrik di sekolah. Saya tak tahu nak buat apa, pelajar2baru abis menduduki peperiksaan akhir tahun dan kertas KHB tingkatan 1A2 dah siap saya marking. Duduk dlm bilik guru terasa hawa panas, saya rasa sgt dahaga. Saya ambil laptop dan bawa ke kantin, duduk di ruangan terbuka. Segar, badan disapa angin. Saya pesan air teh o ais limau dan saya buka laptop lalu saya coret cerita di atas. Bateri laptop dah weak, saya terpaksa berhenti menulis di sini shj.
